Siasatan nahas pesawat TUDM ambil masa beberapa minggu
Bernama
Disember 23, 2016 16:23 MYT
Disember 23, 2016 16:23 MYT
Punca pesawat Beechcraft King Air 200T milik Tentera Udara Diraja Malaysia ( TUDM) yang terhempas di Pangkalan Udara Butterworth pada Rabu dijangka diketahui dalam tempoh beberapa minggu lagi dan hasilnya akan diumum secara rasmi.
Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang berkata, masih terlalu awal untuk menentukan punca kejadian namun berdasarkan siasatan yang dijalankan Lembaga Siasatan setakat ini telah memperolehi bukti bagi membantu siasatan.
Tambahnya, setakat ini proses siasatan berjalan lancar dan pihaknya tidak mahu membuat sebarang andaian sehingga semua bukti diperolehi.
"Lembaga siasatan sedang mengkaji punca kemalangan. Perkembangan siasatan berjalan lancar dan kami harap berdasarkan bukti-bukti yang diperoleh, punca kemalangan akan dapat ditentukan dalam masa terdekat.
"Pada ketika ini, masih terlalu awal (untuk menentukan punca), kami tidak mahu membuat spekulasi bagaimana pesawat itu boleh terhempas," katanya pada sidang media selepas mengiringi Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melawat dua kru pesawat itu Kapten Wai Lik, 24, dan Sarjan Mohd Sofi Azizan, 29, di Hospital Pulau Pinang di sini hari ini.
Katanya, peralatan mekanikal pesawat tersebut juga akan dihantar untuk dianalisa bagi mendapatkan pengesahan sama ada insiden berkenaan berlaku berpunca dari komponen berkenaan.
"Itu akan mengambil masa, jadi siasatan nahas itu bergantung pada bukti awal yang kami dapat setakat ini. Selepas siasatan lengkap dan selesai, pengumuman mengenainya akan dibuat secara rasmi dan telus," katanya. lagi.
Mengulas lanjut, Affendi berkata, insiden berlaku di dalam kawasan TUDM dan ia berlaku ketika pesawat tersebut hendak berlepas.
Tambahnya, ketika ini saksi utama iaitu Kapten Wai Lik masih berada di Wad ICU dan sebarang maklumat mengenai kejadian sebenar hanya akan diperolehi selepas mangsa sedar.
Pada Rabu, beliau menafikan faktor cuaca antara punca pesawat yang berusia lebih 20 tahun terhempas.
Katanya ketika kejadian cuaca dan pesawat berkenaan berada dalam keadaan baik.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.18 petang Rabu, pesawat yang diterbangkan Mejar C. Kayamboo terhempas di Pangkalan Udara Butterworth.
Kayamboo terbunuh manakala seorang pembantu juruterbang dan dua anggota mengalami kecederaan.
Pesawat malang itu berlepas dari Pangkalan Udara Subang untuk melakukan latihan penerbangan sebelum terhempas berhampiran terminal peluru di lapangan terbang tersebut.