Siasatan menyeluruh ke atas dakwaan doktor terlibat dalam sindiket jual bayi

Bernama
Disember 3, 2016 08:32 MYT
Kementerian Kesihatan berkata ia akan melakukan siasatan menyeluruh sehingga ke akar umbi ke atas dakwaan terdapat sindiket menjual bayi melibatkan pengamal perubatan di negara ini. - Gambar hiasan
Kementerian Kesihatan berkata ia akan melakukan siasatan menyeluruh sehingga ke akar umbi ke atas dakwaan terdapat sindiket menjual bayi melibatkan pengamal perubatan di negara ini yang dilaporkan dalam program televisyen satelit Al Jazeera's 101 East.
"Lebih banyak doktor perubatan akan disiasat berkaitan dengan peranan yang dimainkan di dalam sindiket. Kami ingin menjejaki hingga ke dasar isu ini dan mengenal pasti mereka yang terlibat dan mengambil tindakan segera," kata menterinya Datuk Seri Dr S.Subramaniam kepada wartawan selepas melancarkan Pelan Tindakan Belia India Malaysia di sini pada Jumaat.
"Sejauh mana yang kami bimbangkan, kami perlu menyiasatnya secara menyeluruh sebelum mengambil tindakan, kerana itulah pentingnya bekerjasama dengan pihak polis," katanya.
Sementara itu, apabila diminta mengulas perkembangan terkini pasukan siasatan khas yang ditubuhkan kementeriannya, Dr Subramaniam berkata siasatan masih lagi berjalan dan hasil penemuannya akan diumumkan nanti.
"Apabila siasatan selesai, kami akan mengumumkannya secepat mungkin," katanya. - BERNAMA
#al jazeera's 101 east #jual bayi #S Subramaniam #sindiket
;