Siasatan memoir Tommy Thomas: Wan Azizah hadir beri keterangan di Bukit Aman

Fareez Azman
Januari 28, 2022 16:00 MYT
Wan Azizah tiba menaiki kenderaan Veilfire berwarna hitam diiringi kenderaan pengiring. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tiba di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini kira-kira jam 3.23 petang Jumaat bagi membantu siasatan berhubung penerbitan buku bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” ditulis bekas Peguam Negara Tommy Thomas.
Beliau tiba menaiki kenderaan Veilfire berwarna hitam diiringi kenderaan pengiring.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata ia prosedur biasa bagi membantu siasatan.
Turut hadir memberikan sokongan kepada Wan Azizah, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Petaling, Maria Chin Abdullah dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.
Buku bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” yang ditulis bekas peguam negara Tommy Thomas itu diterbitkan tahun lalu.
Bagaimanapun, beberapa pihak tampil mengkritik penulisan buku terbabit yang didakwa mengandungi unsur hasutan, penghinaan dan fitnah.
Susulan itu, kerajaan menubuhkan satu pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian awal kandungan buku tersebut.
#Wan Azizah #Tommy Thomas #My Story #hadir beri keterangan
;