'Siasatan lebih cepat jika tiada campur tangan pihak lain' - Panel bebas
Astro Awani
Julai 29, 2015 20:28 MYT
Julai 29, 2015 20:28 MYT
Pasukan Petugas Khas yang menjalankan siasatan berhubung isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu diberikan ruang menjalankan siasatan tanpa rasa gentar atau takut dengan campur tangan pihak berkepentingan, kata lima panel bebas yang memantau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam satu kenyataan bersama, ahli pasukan itu, termasuk Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan SPRM harus dibenarkan untuk menjalankan siasatan tanpa rasa takut atau pilih kasih.
"Dalam hal ini, kami dengan tegas menggesa agar integriti SPRM sebagai sebuah suruhanjaya pencegahan rasuah yang bebas, perlu dipertahankan dan tidak wajar dikompromi sama sekali,
"SPRM perlu dilihat sebagai suruhanjaya yang bebas dalam merancang dan menjalankan semua tanggungjawab yang diamanahkan sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat," kata mereka.
Siasatan juga perlu dijalankan dengan bebas, telus dan profesional serta berkesan tanpa sebarang tekanan daripada pihak ketiga atau dikenakan sebarang tekanan terhadap agensi yang menganggotai Pasukan Petugas Khas.
Pengerusi Lima Panel Bebas ini terdiri daripada Tan Sri Abu Zahar Ujang (Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah), Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim (Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah), Tan Sri Hamid Bugo (Panel Penilaian Operasi), Tan Sri Wilson Baya Dandot (Jawatankuasa Aduan) dan Tan Sri Johan Jaaffar (Panel Perundingan Dan Pencegahan Rasuah).
Kelima-lima panel bebas ini sebulat suara mahu siasatan yang menyeluruh dikendalikan dan hasilnya diumumkan kepada khalayak ramai secepat mungkin.
Mereka turut menyatakan bahawa siasatan akan lebih mudah serta cepat, bebas, telus dan profesional jika tidak wujud sebarang tekanan dan campur tangan mana-mana pihak.
"Ini perlu bagi mengurangkan jurang persepsi serta keyakinan yang kini kian melebar," kata mereka lagi.
Selain itu, penting bagi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengumumkan hasil penemuan semua siasatan termasuk laporan Jabatan Audit Negara mengenai isu 1MDB kepada umum secepat mungkin.
Pada masa sama, pihak peguam negara yang memberi panduan dan nasihat perundangan kepada pasukan petugas khas, perlu memaklumkan perkembangan siasatan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan persepsi negatif.
Tindakan ini penting memandangkan sprm hanya memberi tumpuan ke atas kes berkaitan SRC International, yang sebelum ini anak syarikat 1MDB, manakala isu 1MDB disiasat oleh agensi penyiasat lain.