Siasatan kes Zayn Rayyan di peringkat akhir?

Sinar Harian
Jun 10, 2024 16:45 MYT
Van yang dipercayai membawa ibu Zayn Rayyan keluar dari kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya kira-kira 12.20 tengah hari. - Gambar/ Astro AWANI/ Shahir Omar
PETALING JAYA: Benarkah kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin sudah berada pada episod akhir?

Ringkasan AI
  • Kes pembunuhan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin, kanak-kanak autisme berusia enam tahun, masih menjadi perhatian ramai selepas ibu bapa mangsa ditahan reman oleh polis selama tujuh hari pada 1 Jun.
  • Pada 7 Jun, tahanan reman kedua ibu bapa mangsa dilanjutkan selama enam hari lagi. Polis juga kembali ke rumah lama pasangan tersebut untuk menjalankan siasatan.
  • Ibu Allahyarham dipercayai diminta melakonkan semula kejadian pada hari berlaku. Namun, hingga kini, polis belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai siasatan ini. Media menunggu maklumat lanjut dari pihak polis.

Perkara itu menjadi pertanyaan kebanyakan rakyat Malaysia yang prihatin dengan kes malang menimpa kanak-kanak berusia enam tahun itu.
Setelah enam bulan kejadian itu berlalu, perhatian orang ramai kembali tertumpu kepada perkembangan kes tersebut apabila kedua-dua ibu bapa mangsa ditahan reman pihak polis selama tujuh hari pada 1 Jun lalu.
Polis bawa ibu Zayn Rayyan ke lokasi kejadian
Pada 7 Jun, tahanan reman ibu bapa mangsa disambung selama enam hari lagi.
Dalam tempoh tahanan reman kali kedua itu, pihak polis pada Isnin kembali semula ke rumah lama pasangan tersebut.
Pasukan siasatan selesai menjalankan siasatan di kediaman lama pasangan itu jam 2 petang pada Isnin.
Ibu Allahyarham Zayn dipercayai diminta melakonkan semula kejadian yang berlaku pada hari kejadian kepada pihak polis.
Siasatan berakhir sebaik kenderaan yang membawa Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain meninggalkan kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai, jam 2.08 petang.
Lima minit kemudian semua kenderaan dinaiki pasukan penyiasat dan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) keluar dari lokasi kejadian sebelum laluan yang ditutup ketat oleh pihak polis sejak jam 9.45 pagi dibuka semula secara keseluruhan.
Berdasarkan tinjauan di lokasi, hanya ibu Zayyan yang juga saksi yang kini berada dalam tahanan polis dibawa ke lokasi bagi tujuan lakonan semula situasi di tempat kejadian.
Sehingga proses siasatan berakhir, kelibat bapa Rayn yang juga dalam tahanan reman polis tidak kelihatan.
Sumber di lokasi kejadian memaklumkan ibu Zayn dibawa ke kediamannya di blok R, Apartment Idaman.
Selain itu, ibu mangsa dipercayai turut dibawa ke kawasan anak sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari kediamannya iaitu lokasi Zayn ditemui mati pada jam 9.50 malam, 6 Disember lalu.
Setakat ini, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung siasatan yang dilakukan kepada pihak media.
Pihak media juga sedang menunggu maklumat lanjut daripada Mohd Shuhaily dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan. - Sinar Harian
#Zayn Rayyan #hasil siasatan #ibu bapa #polis
;