Siasatan kes polis tumbuk peniaga burger lengkap
Shuhada Abdul Kadir
Januari 22, 2019 19:42 MYT
Januari 22, 2019 19:42 MYT
Polis sudah melengkapkan siasatan berhubung kes peniaga burger yang mendakwa ditumbuk dan diacukan pistol oleh seorang pegawai polis di Seremban sehingga videonya tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Thiew Hock Poh berkata, kertas siasatan telah dihantar kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, kertas siasatan sebelum ini dibuka mengikut Seksyen 323 dan 353 Kanun Keseksaan sebelum diubah kepada Seksyen 160 kerana bergaduh di tempat awam.
"Kita akan mengambil tindakan susulan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan bagi kedua-dua pihak dalam masa terdekat. Siasatan juga masih diteruskan terhadap pegawai polis terbabit di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard," kata Thiew.
Baru-baru ini, tular video seorang peniaga burger yang dilihat ditumbuk oleh seorang lelaki yang mendakwa dirinya pegawai polis, di Taman Rasah Jaya, Seremban.
Dalam kejadian 9 Januari itu, pergelutan berlaku apabila peniaga burger berkenaan enggan memberikan kad pengenalannya kepada dua orang lelaki yang mendakwa diri mereka pegawai polis.
Pengadu enggan memberikannya kerana mereka tidak menunjukkan kad kuasa polis dan kemudian salah seorang daripada mereka bertindak menumbuknya.
Mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada hari sama.
Thiew mengesahkan dua pegawai berkenaan merupakan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC).
Tambahnya, pengguna media sosial yang menularkan video berkenaan turut akan diambil tindakan jika terdapat aduan.