Siasatan kes pempengaruh seleweng dana derma awam hampir lengkap - Azam Baki

Bernama
Ogos 14, 2024 09:45 MYT
Menurut Azam, siasatan dakwaan penyelewengan dana derma awam berjumlah RM3 juta oleh pasangan pempengaruh dan dua individu lain hampir lengkap.- Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Siasatan dakwaan penyelewengan dana derma awam berjumlah RM3 juta oleh pasangan pempengaruh dan dua individu lain hampir lengkap, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.
"Kertas siasatan hampir selesai dan jika tidak silap pegawai penyiasat sudah merujuknya kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk kaji kes berkenaan," katanya kepada media selepas program Inisiatif Pencegahan Rasuah Melalui Pemerkasaan Amalan Perakaunan dan Pengauditan di sini hari ini.
Turut hadir Akauntan Negara Malaysia Nor Yati Ahmad, Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan) Patimah Ramuji dan Pengarah Jabatan Khas Lembaga Hasil Dalam Negeri Datuk Akmal Johari Ismail.
Bernama sebelum ini melaporkan SPRM membekukan kira-kira 20 akaun bank membabitkan nilai lebih RM740,000 susulan siasatan melibatkan pasangan suami isteri pempengaruh itu dan dua lagi individu.
Mereka disyaki melakukan perbuatan itu sejak 2020 dengan penyaluran kutipan derma awam secara tidak betul. Pada 16 Julai lepas mereka dibebaskan dengan bayaran jaminan RM100,000 setiap seorang selepas direman sejak 11 Julai.
Sementara itu, Azam dalam ucapan ketika merasmikan program berkenaan berkata juruaudit dan akauntan memainkan peranan penting dalam mengenal pasti jenayah kewangan seterusnya melaporkan kepada pihak berkuasa.
"Peranan juruaudit amat penting dalam merungkai kepincangan akaun dan rekod kewangan yang telah dimanipulasi untuk menyembunyikan jenayah kewangan yang dilakukan.
"Akauntan pula bertanggungjawab sebagai 'gate keeper' kepada maklumat kewangan sesebuah organisasi, memantau aliran kewangan syarikat, menasihati pihak pengurusan mengenai operasi kewangan syarikat dan jika perlu melaporkan ketidakwajaran serta penyelewengan kepada pihak berkuasa," katanya.
Beliau berkata usaha membanteras rasuah melibatkan penyelewenganperuntukan kerajaan memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan kelestarian penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
"SPRM memberi perhatian serius terhadap Laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan di Parlimen dengan penglibatan di dalam Jawatankuasa Tindakan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan Mesyuarat Bersama Agensi Penguatkuasa dan Agensi Pusat Berhubung LKAN," katanya.
--BERNAMA
#penyelewengan dana derma awam #Azam Baki #SPRM #siasatan hampir lengkap #pasangan pempengaruh