Siasatan kes pembunuhan kejam Surya hampir selesai

Nur Fazlizai Ali
November 11, 2020 16:31 MYT
Polis turut menggunakan khidmat unit skuba Polis Marin Wilayah Tiga untuk mengesan barang kes di Sungai Telemong di Kampung Bukit Tadok, pada Ahad. -PDRM
HULU TERENGGANU: Kertas siasatan pembunuhan seorang gadis hingga putus pergelangan tangannya di Kampung Lubok Batu, Telemong, di sini sudah hampir lengkap dan akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata siasatan kes itu telah siap lebih 90 peratus.
"Kertas siasatan kes ini hampir lengkap dan akan dirujuk kepada pejabat timbalan pendakwa raya Terengganu untuk mendapatkan arahan selanjutnya," katanya di sini, pada Rabu.
Mohd Adli berkata, pihaknya turut menggunakan khidmat unit skuba Polis Marin Wilayah Tiga untuk mengesan barang kes yang dipercayai dibuang suspek berusia 19 tahun di Sungai Telemong di Kampung Bukit Tadok, pada Ahad.
"Pasukan Polis Marin telah membuat pencarian dengan melakukan selaman di sekitar kawasan tersebut selama lebih kurang dua jam, bagaimanapun kita tidak menjumpai apa-apa barang yang dikaitkan dengan kes ini," katanya.
BACA: Remaja perempuan jaga ibu sakit disamun, dibunuh kejam
BACA: "Saya akan berjumpa dan minta maaf dengan keluarga arwah Surya" - Ibu Suspek"Saya akan berjumpa dan minta maaf dengan keluarga arwah Surya" - Ibu Suspek
BACA: Bapa harap pembunuh Siti Nur Surya terima balasan setimpal
Dalam kejadian 1 November lalu, Siti Nur Surya Ismail, 19, ditemui dibunuh kejam dengan beberapa kesan tikaman pada beberapa bahagian badan termasuk putus pergelangan tangan kiri.
Berikutan itu, rakannya seorang pelajar Tingkatan Enam yang juga suspek utama kes pembunuhan itu telah ditahan dan direman selama 14 hari bagi membantu siasatan.
#nur surya #bunuh #Tetak #Putus Tangan #polis #Kampung Lubok Batu #Hulu Terengganu #Mohd Adli Mat Daud #Siti Nur Surya Ismail #samun
;