Siasatan kes Hannah Yeoh akan dibawa ke pendakwa raya - Polis

Bernama
Jun 30, 2020 22:07 MYT
Hannah ditemubual pemberita selepas hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman 23 Jun lalu. Turut sama, peguamnya Gobind Singh Deo (kanan). --fotoBERNAMA
Polis akan membawa kertas siasatan kes bekas timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh, berhubung kenyataan dikeluarkan dalam laman sosialnya, kepada pihak pendakwa raya.
“Beliau telah pun memberikan keterangannya… Kita akan hantar kertas siasatan kepada pendakwa raya dan biarlah pendakwa raya yang memutuskannya,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed pada sidang media di Bukit Aman semalam.
Pada 23 Jun lalu, Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut itu dipanggil ke Bukit Aman berhubung catatan yang dimuat naik menerusi laman sosialnya, yang antara lain didakwa mempersoalkan status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur.
Dalam perkembangan berasingan, Huzir berkata, pihaknya akan menyelesaikan segala tindakan dan arahan pihak pendakwa raya dalam tempoh waktu terdekat, berhubung kes siasatan kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
“Kita akan selesaikannya dalam tempoh terdekat ini dan akan berbincang semula dengan pihak peguam negara, untuk tindakan seterusnya," katanya.
Pada 21 Jun lalu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata, mahkamah koroner yang menyiasat kes itu memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.
Pejabat Peguam Negara akan mengambil tindakan hasil daripada siasatan polis dan perkara itu disahkan oleh Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hamzah Zainudin).
Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Dis 2018 selepas 21 hari bertarung nyawa, susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25 Subang Jaya.
-- BERNAMA
#bekas timbalan menteri #Bukit Aman #Hannah Yeoh #Huzir Mohamed #Jabatan Siasatan Jenayah #jenayah #kertas siasatan #keterangan #laman sosial #mahkamah #Muhammad Adib Mohd Kassim #Peguam Negara #pendakwa raya #perkahwinan bawah umur #polis #siasatan