Siasatan kes GISB komprehensif, libatkan pelbagai peruntukan undang-undang

Bernama
Oktober 5, 2024 18:00 MYT
Saifuddin pada sidang media sempena Program Sua Mesra bersama KDN dan Sambutan Hari Pendaftaran Negara Ke-76 tahun di Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir dekat Bandar Baharu hari ini. - Gambar Bernama
BANDAR BAHARU: Siasatan polis terhadap kes GISB Holdings (GISB) dijalankan secara komprehensif dari pelbagai sudut peruntukan undang-undang, menyebabkan jumlah tangkapan individu yang dikaitkan dengan organisasi tersebut berubah mengikut keperluan siasatan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata jumlah anggota polis yang terlibat dalam kes ini adalah besar, melebihi 1,000 anggota, dan turut melibatkan pakar kaunseling serta psikologi.
"Sejak operasi dijalankan, jumlah tangkapan sentiasa berubah. Beberapa hari lalu, saya diberi taklimat tentang 625 tangkapan, tetapi jika saya kembali esok dan menerima taklimat, angka itu mungkin akan berubah lagi.
"Jadi dari segi angka, ia adalah dinamik kerana setiap siasatan akan menghasilkan penemuan baharu. Itu yang pertama. Kedua, siasatan polis harus dibezakan daripada tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di bawah JAKIM serta pihak berkuasa agama negeri.
"Mereka menumpukan pada aspek penyelewengan akidah, manakala KDN (Kementerian Dalam Negeri) mengawasi banyak akta yang kami kendalikan," katanya kepada pemberita pada Program Sua Mesra KDN dan Sambutan Hari Pendaftaran Negara ke-76 di Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas sama ada polis akan melakukan tangkapan lagi terhadap individu yang dikaitkan dengan GISB dalam masa terdekat.
Saifuddin Nasution berkata pada peringkat awal siasatan, hanya empat peruntukan undang-undang melibatkan agensi di bawah KDN digunakan, namun kini siasatan sudah bertambah sehingga 10 peruntukan undang-undang di bawah pelbagai agensi kementerian itu.
Beliau berkata antara undang-undang yang diguna pakai untuk siasatan termasuk Kanun Keseksaan, Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017, Akta Pertubuhan 1966, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957.
"Jika ditanya kepada saya, sama ada akan ada lagi tangkapan?, saya akan kata biar pihak polis buat berasaskan kepada jenis kesalahan mengikut seksyen dan akta tertentu. Jika terdapat kewajaran, siasatan ini akan dilengkapkan berasaskan seksyen dan akta tertentu dan sebelum diserah kepada Jabatan Peguam Negara.
"Penyiasatan tidak dilakukan semata-mata untuk menarik perhatian. Sebaliknya, ia bertujuan memastikan keadilan tertegak. Tindakan diambil berasaskan bukti terhadap mereka yang terlibat agar mereka tidak dapat terlepas dari pengadilan. Itu adalah tanggungjawab utama pasukan polis," katanya.
-- BERNAMA
#JAKIM #KDN #Peguam Negara #GISB
;