Siasatan kes bunuh bekas ADUN Alor Limbat tidak pernah dihentikan - Polis
Bernama
April 14, 2017 18:41 MYT
April 14, 2017 18:41 MYT
Polis Terengganu tidak pernah menghentikan siasatan kes pembunuhan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Alias Abdullah pada Oktober 2015.
Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata siasatan dan risikan diteruskan bagi mencari petunjuk baharu walaupun kes bunuh itu berlaku hampir dua tahun lalu memandangkan ia dikategorikan sebagai kes berprofil tinggi.
"Memang siasatan ini mengambil masa yang agak lama," katanya kepada pemberita selepas program ramah mesra dan ronda cakna Skim Rondaan Sukarela (SRS) bersama Ketua Polis Terengganu, di sini, malam tadi.
Katanya gerakan memburu suspek masih giat dilakukan dan polis yakin kes itu akan dapat diselesaikan dengan kepakaran dan bantuan Bukit Aman.
Alias maut akibat ditembak pada jarak dekat oleh seorang lelaki tidak dikenali di rumahnya di Kampung Alor Limbat, Bukit Payong, Marang selepas pulang daripada solat Jumaat.
Rosli berkata polis juga masih menyiasat kes pembunuhan sepupu Alias, Mat Jusoh Ali, 56, atau dikenali dengan panggilan Cikgu Zaki, yang ditembak dua bulan sebelum itu iaitu pada 9 Ogos.
-- BERNAMA