Siasatan kematian Sarjan Jana selesai, tiada unsur jenayah - Polis
Dewi Nur Harasha Alias
Mac 1, 2023 18:09 MYT
Mac 1, 2023 18:09 MYT
GEORGE TOWN: Polis mengesahkan kematian anggota polis berpangkat Sarjan yang ditemui dengan tiga kesan tembakan pada leher, dada dan kepala di belakang bangunan Balai Polis Bayan Lepas, pada 19 Februari lalu tiada elemen jenayah.
Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, siasatan berhubung kejadian itu telahpun selesai dijalankan dan polis mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut (SDR).
“Kita dah tengok dari sudut criminal (jenayah) dia tidak ada, kesan daripada bedah siasat dan juga lawatan Patologi ke tempat kejadian, ianya konsisten dengan dapatan pertama kita bahawa ianya adalah satu tindakan bunuh diri.
“Saya rasa kes ini tidak ada lagi spekulasi sama ada ianya ada elemen jenayah atau apa di dalamnya, tidak ada lagi lah. Saya rasa siasatan kita di situ saja lah, kita akan hantar kepada inkues selepas ini,” katanya ketika ditemui di lobi Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini.
Pada 19 Februari lalu, mayat Sarjan Jana Anak Milie, 51, ditemukan dengan kesan tembakan pada kepala, leher dan dada di belakang bangunan Balai Polis Bayan Lepas sekitar jam 3.30 petang.
Turut ditemui sepucuk pistol bersamanya di tempat kejadian.