Siasatan kebakaran The Andaman Langkawi selesai - Bomba

Adie Sufian Zulkefli
Januari 27, 2021 10:45 MYT
Kira-kira 80 peratus sebuah blok bangunan di The Andaman Langkawi di Jalan Teluk Datai musnah dalam kebakaran yang berlaku dua kali pada 12 dan 13 Jan lalu. --fotoBERNAMA
ALOR SETAR: Siasatan kebakaran membabitkan resort lima bintang, The Andaman, a Luxury Collection Resort, di Jalan Teluk Datai, Langkawi pada 12 dan 13 Januari lalu, kini siap sepenuhnya.
Siasatan dilakukan Bahagian Siasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah yang berada di tempat kejadian selama tiga malam untuk mengetahui bagaimana kebakaran berlaku.
Bagaimanapun, menurut Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon, kes itu diserahkan kepada Ibu Pejabat JBPM di Putrajaya untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, antara faktor penyebab api merebak dengan cepat ialah, kejadian berlaku ketika musim Monsun Timur Laut di mana terdapat angin kuat, ditambah persekitaran dan geografi kawasan yang lapang menghadap laut.
"Faktor angin, faktor persekitaran dan juga faktor geografi, topografi kawasan itu sendiri yang menyebabkan kemerebakan api itu berlaku dengan pantas.
"Dan keduanya, kerana binaan premis itu sendiri, sebagai hotel mewah, hiasannya menggunakan kayu-kayu yang banyak, itu juga menjadi punca kemerebakan berlaku dengan cepat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat JBPM Kedah, di sini, hari ini.
BACA: Hotel lima bintang di Langkawi musnah akibat kebakaran
BACA: 24 jam terbakar, 80 peratus blok bangunan The Andaman Langkawi musnah
Sayani berkata, binaan daripada kayu dan papan turut menyumbang kepada api hidup semula kerana terdapat bara api di dalam kayu.
Tambahnya, kejadian itu mengakibatkan api marak dengan pantas seterusnya meningkatkan risiko anggota untuk masuk ke dalam bangunan bagi melakukan operasi pemadaman.
"Ia juga meningkatkan risiko kepada anggota-anggota pemadam kerana ia banyak mengunakan kayu-kayu alang sebagai ganti kepada konkrit.
"Dan kayu papan yang cantik ini adalah objek paling atas. Jadi, sangat memberi risiko kepada anggota anggota pemadam.
"Tetapi, faktor sebenar kemerebakan itu adalah cuaca, dan juga angin. Walaupun (api) berjaya dikawal, tetapi faktor-faktor ini membantu menaikkan api itu dengan cepat," katanya.
BACA: Pasukan forensik mula siasat punca kebakaran di The Andaman
Menurut Sayani, laporan penuh siasatan akan diumumkan Ketua Pengarah JBPM ekoran laporan lengkap berkaitan kejadian telah dihantar ke Putrajaya.
Hotel terkemuka yang terletak di Jalan Teluk Datai, kira-kira 40 kilometer dari Bandar Kuah dekat Langkawi itu, musnah 80 peratus dalam kebakaran yang berlaku dua kali, pada 12 dan 13 Januari lalu.
#The Andaman #hotel #resort #Langkawi #JBPM Kedah #kebakaran #Sayani Saidon #laporan #API #merebak #cuaca #angin #Teluk Datai
;