Siasatan ke atas KJ: Malaysiakini hanya saksi, bukan sasaran - Fahmi
Astro Awani
Januari 28, 2025 18:45 MYT
Januari 28, 2025 18:45 MYT
CYBERJAYA: Portal berita dalam talian, Malaysiakini, hanya merupakan saksi dalam siasatan polis terhadap kenyataan yang dikeluarkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dalam satu episod podcast Keluar Sekejap.
Ringkasan AI
- Malaysiakini hanya merupakan saksi dalam siasatan polis terhadap kenyataan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dalam podcast Keluar Sekejap.
- Rampasan komputer riba Malaysiakini oleh polis bertujuan membantu siasatan terhadap Khairy yang disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
- Khairy didakwa mencetuskan krisis kepercayaan dalam UMNO dan mengaitkan dua menteri dalam isu Titah Adendum yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, rampasan sebuah komputer riba milik Malaysiakini oleh pihak polis yang dilaporkan sebelum ini hanya bertujuan membantu siasatan.
"Saya difahamkan pihak Malaysiakini bukan (sasaran siasatan) tetapi mereka adalah saksi dan bukan sasaran.
"Mungkin berdasarkan maklum balas yang diterima oleh polis daripada Jabatan Peguam Negara mengenai kertas siasatan yang telah dihantar dalam kes berkenaan," katanya demikian ketika berucap di sini hari ini sempena Majlis Pelancaran Chatbot kecerdasan buatan (AI) AIFA diterajui MCMC.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa polis telah merampas sebuah komputer riba daripada Malaysiakini.
Rampasan itu dilakukan bagi membantu siasatan terhadap Khairy Jamaluddin yang disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas tuduhan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Ini susulan dakwaan beliau bahawa isu Titah Adendum yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mencetuskan krisis kepercayaan dalam UMNO.
Khairy juga memberi bayangan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, terlibat dalam menyembunyikan Titah Adendum itu.
Pada 10 Januari, Datuk Suraya Yaacob, Setiausaha Politik kepada Azalina, telah membuat laporan polis terhadap Khairy berhubung artikel Malaysiakini yang memetik komen bekas menteri itu dalam podcastnya, Keluar Sekejap.
Menerusi salinan laporan polis tersebut, Suraya dan Nor Azrina mendakwa kenyataan yang dikeluarkan Khairy, yang mengaitkan dua menteri berkenaan, adalah tidak benar.