Siasatan ke atas GISBH, 740 rakaman percakapan direkod - KPN

Sinar Harian
September 18, 2024 10:00 MYT
Sebanyak 740 rakaman percakapan telah dilaksanakan berhubung siasatan ke atas GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), kata Ketua Polis Negara, Razarudin Husain. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Sebanyak 740 rakaman percakapan telah dilaksanakan berhubung siasatan ke atas GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan ini diambil menerusi Op Global yang dilaksanakan bagi fasa pertama dan kedua.
"Daripada jumlah yang direkodkan, 30 adalah rakaman percakapan pengadu, saksi (216), mangsa (392) dan suspek (102).
"Jumlah kumulatif kertas siasatan yang telah dibuka bagi Fasa 1 dan 2 adalah sebanyak 33 kertas siasatan," katanya pada Rabu.
Mengulas mengenai perkembangan Op Global, Razarudin berkata, siasatan kini berada di fasa kedua bermula pada 11 September selepas fasa pertama dimulakan 2 September lalu.
Katanya, sebanyak 10 kertas siasatan dibuka pada Fasa 1 iaitu masing-masing enam di Selangor dan Negeri Sembilan (4), manakala Fasa 2 melibatkan 23 kertas siasatan iaitu 16 di Selangor, Negeri Sembilan (2), Perlis (1) dan Kuala Lumpur (1).
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan, seramai 149 orang mangsa kanak-kanak berumur satu hingga 10 tahun telah diberikan perintah jagaan sementara yang diselia oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Seksyen 25(2) Akta Kanak-kanak 2001.
Razarudin dilaporkan berkata, mangsa ini dan telah dipindahkan ke empat pusat perlindungan
Baki 243 kanak-kanak masih lagi ditempatkan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur dan akan dipindahkan ke pusat jagaan sementara secara berperingkat.
Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membekukan 96 akaun melibatkan GISBH bernilai RM581,552.31 mengikut Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2021 selain empat akaun telah ditutup. - Sinar Harian
#GISB Holdings Sdn Bhd #Global Ikhwan #gisbh #eksploitasi kanak-kanak
;