Siasatan FIC: SPRM serah kertas siasatan dalam tempoh dua minggu

Harits Asyraf Hasnan
September 30, 2017 08:50 MYT
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata pihaknya masih memerlukan sedikit masa lagi untuk melengkapkan kertas siasatan itu. - Gambar fail
Kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) dan Felda Investment Corporation (FIC) akan diserahkan ke Jabatan Peguam Negara dalam tempoh dua minggu ini.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata pihaknya masih memerlukan sedikit masa lagi untuk melengkapkan kertas siasatan itu.
"Kita (SPRM) belum serahkan lagi. Kita cuba untuk selesaikan siasatan dan serahkan InsyaAllah dalam minggu hadapan atau minggu lagi satu dalam tempoh lagi dua minggu ni secepat mungkin," katanya.
Dzulkifli sebelum ini berkata laporan siasatan mengenai FGV dan pembelian dua buah hotel oleh FIC dalam peringkat akhir.
SPRM Ogos lalu menahan bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bagi membantu siasatan berhubung pembelian dua buah hotel oleh Felda Investment Corp Sdn Bhd (FIC).
Mahkamah Majistret kemudiannya membebaskan Tan Sri Isa selepas direman lima hari.
#Azam Baki #Dzulkifli Ahmad #Felda #FGV #ISA #Peguam Negara #SPRM