Siasatan dana awam babit pempengaruh suami isteri, SPRM beku 20 akaun lebih RM740,000

Astro Awani
Julai 15, 2024 15:20 MYT
Pada Rabu lalu, pasangan suami isteri terbabit bersama dua lagi individu ditahan dan direman kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan kira-kira 20 akaun bank dengan nilai lebih RM740,000 susulan siasatan penyelewengan dana derma awam melibatkan pasangan pempengaruh bersama dua lagi individu.

Ringkasan AI
  • SPRM telah membekukan kira-kira 20 akaun bank berjumlah lebih RM740,000 selepas siasatan terhadap penyelewengan dana derma awam yang melibatkan pasangan pempengaruh bersama dua individu lain.
  • Akaun-akaun yang dibekukan termasuk milik individu dan syarikat yang didakwa berkaitan dengan dana yang dikumpulkan melalui platform kutipan derma dalam talian.
  • SPRM menggunakan kuasa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram untuk menyita dan membekukan akaun-akaun tersebut dalam usaha menangani kes penyelewengan dana derma ini.

Menurut sumber, akaun-akaun yang dibekukan itu adalah milik individu serta syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dana yang diterima daripada orang ramai menggunakan satu platform kutipan derma dalam talian.
"Sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) telah menyita dan membekukan hampir 20 akaun milik individu serta syarikat bagi membantu siasatan dijalankan.
"Kemungkinan akan ada beberapa lagi akaun perbankan yang akan turut disita serta dibekukan oleh SPRM," katanya.
Sementara itu, Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan pembekuan beberapa akaun milik individu serta syarikat susulan siasatan SPRM terhadap pasangan pempengaruh terbabit.
Katanya, sitaan dan pembekuan akaun-akaun terbabit dibuat mengikut Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Pada Rabu lalu, pasangan suami isteri terbabit bersama dua lagi individu ditahan dan direman kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam.
Kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 20-an hingga 30-an itu ditahan antara jam 6.30 petang hingga 11 malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
Sebelum ini, timbul tanda tanya berhubung dakwaan tular di media sosial mengenai pempengaruh yang dikatakan mengambil komisen daripada kutipan derma orang ramai dengan peratusan yang tinggi.
Selain itu, mereka juga didakwa hidup dalam kemewahan sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya daripada warga siber.
#SPRM #pasangan pempengaruh #kutipan derma #suami isteri #dana awam