Siasatan bomba di ICU HSA selesai, 9 saksi dipanggil beri keterangan

Bernama
Oktober 27, 2016 07:24 MYT
Menurut pihak bomba, laporan penuh dijangka selesai dalam tempoh dua minggu dan akan dibentangkan kepada kerajaan.
Siasatan yang dijalankan oleh Unit Forensik Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) selesai dan kini dalam proses mengambil keterangan saksi kejadian.
Penolong Ketua Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran Forensik Putrajaya, Edwin Galan Teruki berkata laporan penuh dijangka selesai dalam tempoh dua minggu dan akan dibentangkan kepada kerajaan.
"Hari ini kita telah mula mengambil laporan sembilan orang saksi yang terdiri daripada doktor dan jururawat HSA. Siasatan yang kita lakukan di lokasi kejadian tamat pada pukul 5 petang tadi (Khamis).
LAPOR LANGSUNG: Kebakaran Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru
GALERI FOTO: Kebakaran wad ICU Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru
INFOGRAFIK: Apa yang perlu anda tahu tentang kebakaran di Hospital Sultanah Aminah
"Siasatan yang kita lakukan tidak tertumpu kepada punca kebakaran sahaja, malah merangkumi operasi dan keselamatan kebakaran," katanya ketika ditemui media, di sini pada Khamis.
Menurut Edwin, pihaknya menjalankan pemeriksaan sampel di Makmal Penyiasatan Kebakaran di ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor di Kangkar Tebrau sejak hari kejadian dan kini akan meneruskan siasatan dengan mengambil keterangan daripada saksi.
"Siasatan yang kami jalankan ini menunjukkan kejadian berlaku dalam satu ruangan sahaja (tetapi) ia telah mengorbankan enam nyawa," kata Edwin.
Katanya pemeriksaan dan siasatan dilakukan oleh anggota Bomba dan Penyelamat dari Johor dan Putrajaya, melibatkan lapan pegawai.
Dalam kebakaran pada Selasa, seramai enam pesakit ICU maut manakala seorang lagi pesakit berjaya diselamatkan. Dua jururawat dan seorang pelatih fisioterapi cedera akibat terhidup asap dan dirawat di Hospital Sultan Ismail. -- BERNAMA
#Hospital Sultanah Aminah #HSA #ICU terbakar #saksi #Unit Forensik
;