Siasatan belum selesai, Polis Melaka nafi sudah keluarkan kompaun terhadap Awie

Shuhada Abdul Kadir
Mei 10, 2021 19:45 MYT
Menurut Timbalan Ketua Polis Melaka, SAC Razali Abu Samah, setakat ini pihaknya hanya mengambil keterangan dan tiada sebarang kompaun telah dikeluarkan seperti didakwa. - Foto BERNAMA
AYER KEROH: Polis Melaka menafikan telah mengeluarkan kompaun terhadap penyanyi dan pelakon, Datuk Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), dalam satu majlis di sebuah hotel di Melaka yang tular baru-baru ini.
Ujar Timbalan Ketua Polis Melaka, SAC Razali Abu Samah, setakat ini pihaknya hanya mengambil keterangan dan tiada sebarang kompaun telah dikeluarkan seperti didakwa.
Hanya beberapa individu daripada persatuan beca yang terlibat dalam program itu masih belum dipanggil, dan ia akan dilakukan secepat mungkin bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
"Kita belum tuduh beliau lagi (Awie) kerana siasatan belum selesai. Tindakan dan arahan dari Timbalan Pendakwa Raya pun belum kita perolehi, jadi macam mana bayaran saman itu dibayar?" katanya pada sidang akhbar berkaitan perkembangan COVID-19 di Melaka di sini hari ini.
BACA: Langgar SOP: 'Awie sudah bayar denda' - Pengurus
“Polis kontinjen Melaka belum lagi menerima sebarang bayaran, kita pun tak tuduh beliau (Awie) lagi. Tindakan dan arahan dari Timbalan Pendakwa Raya pun kita belum perolehi, jadi macam mana kita nak tahu dia dah dibayar ke belum?
“Yang saya diberitahu bahawa statement Datuk Awie telah kita ambil dan penganjur di pihak hotel pun telah kita ambil, cuma beberapa orang daripada persatuan beca yang terlibat dalam program itu masih belum dipanggil.
“Selesai nanti kita akan hantar ke Timbalan Pendakwa Raya untuk (tindakan) selanjutnya,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di Bukit Beruang pada Isnin.
Beliau mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang meloporkan pengurus artis terbabit, Mubarak Akhtar mendakwa Awie telah membayar denda terhadap kesalahannya melanggar SOP COVID-19 baru-baru ini.
Mengulas lanjut ujar Razali, setakat ini pegawai penyiasatnya telah mengambil keterangannya di rumah penyanyi rock berkenaan di Ampang, Selangor petang semalam.
Tambahnya, siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin sebelum dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, satu video klip berdurasi 42 saat memaparkan beliau bersama beberapa individu sedang menyanyi di majlis berbuka puasa di sebuah hotel di Melaka tanpa penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka tular di media sosial.
#Polis Melaka #Awie #kompaun #majlis buka puasa #Melaka #Ahmad Azhar Othman #langgar SOP
;