Siasatan anggota APM maut dipatuk ular selesai dua minggu lagi

Bernama
Mei 14, 2023 21:50 MYT
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang maut dipatuk ular tedung ketika sedang bertugas bakal mengikat tali pertunangan pada Aidiladha ini. - BERNAMA
BACHOK: Laporan siasatan kes kematian anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mohd Idris Abdul Samad, 34, akibat dipatuk ular tedung, dijangka selesai dalam tempoh dua minggu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM Abdul Wahab Rahim berkata Jawatankuasa Siasatan APM masih menjalankan siasatan mengenai prosedur operasi standard (SOP) dan peralatan yang digunakan ketika kejadian berlaku.
"Hasil siasatan itu akan dijadikan sebagai rujukan dan panduan dalam melakukan penambahbaikan kepada SOP serta elemen lain.
"Siasatan membabitkan elemen peralatan yang digunakan seperti sarung tangan dan peralatan sokongan ketika kerja-kerja mengalih reptilia terbabit," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan bayaran pencen faedah orang tanggungan (FOT) dan faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada keluarga Allahyarham Mohd Idris di Kampung Kemasin, di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Perkeso Kelantan Nora Yaacob.
Mohd Idris disahkan meninggal dunia Selasa lepas, setelah dua hari menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian.
Beliau dipatuk ular tersebut ketika mengalihkan reptilia itu daripada guni ke dalam sangkar khas.
Abdul Wahab berkata tugas yang dilaksanakan APM semakin mencabar termasuk risiko berdepan haiwan berbisa seperti ular dan lebah.
"Kita memang terdedah dengan bahaya dan berdasarkan fakta kes tahun ini bermula Januari hingga kini, kita telah menangani lebih 31,000 kes melibatkan binatang berbisa di seluruh negara, manakala di Kota Bharu sahaja, kita telah mengendalikan lebih 2,000 kes binatang berbisa sejak Januari hingga Disember tahun lepas," katanya.
-- BERNAMA
#siasatan #anggota APM #dipatuk ular #Mohd Idris Abdul Samad
;