Siasatan 1MDB dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan - Jabatan Audit

Bernama
Oktober 13, 2015 16:22 MYT
Timbalan Pengarah Jabatan Audit Negara R. Raja Sunthara Kannan berkata pihaknya sedang melaksanakan fasa kedua siasatan yang lebih terperinci. - Gambar Fail
Hasil siasatan Jabatan Audit Negara terhadap akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dikeluarkan dalam tempoh kira-kira tiga bulan lagi.
Timbalan Pengarah Jabatan Audit Negara R. Raja Sunthara Kannan berkata pihaknya sedang melaksanakan fasa kedua siasatan yang lebih terperinci berkaitan beberapa unsur yang belum disiasat.
"Fasa pertama siasatan telah selesai tetapi terdapat beberapa maklumat berkaitan luar negara yang perlu diselesaikan dan kita jangka akan mengeluarkan laporan siasatan dalam tempoh tiga hingga empat bulan lagi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu Seminar Kelestarian Integriti anjuran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) bersama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini, hari ini.
Turut hadir ialah bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Zakaria Jaafar, bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Sutinah Sutan dan penganalisis jenayah Datuk Akhbar Satar.
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Akta Kawalan Tukaran #Bank Negara Malaysia #BNM #ECA #Jabatan Audit Negara
;