Siasat tali barut bocor rahsia SPRM kepada Lokman - Khairuddin

Astro Awani
Oktober 8, 2018 05:44 MYT
KHAIRUDDIN: Bagaimana Lokman boleh membuat ramalan tepat apa yang bakal berlaku dalam hal ehwal pentadbiran SPRM? - Gambar fail
Kenyataan Datuk Lokman Noor Adam yang mengetahui Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan pada Rabu ini harus dipandang berat agensi itu sendiri.
Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Mobiliti PH, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, ia sekali gus menimbulkan kesangsian bagaimana Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu mendapat maklumat berkenaan selepas sebelum ini mengakui masih mempunyai 'kawan' di dalam SPRM.
"Kebocoran maklumat itu harus disiasat. Ini satu kenyataan yang menyalahi undang-undang. Bagaimana Lokman boleh membuat ramalan tepat apa yang bakal berlaku dalam hal ehwal pentadbiran SPRM?
"Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull harus mengambil perhatian serius mengenai dakwaan ini yang membuktikan masih terdapat 'tali barut' di dalam SPRM yang harus dibersihkan.
"Demi untuk menjaga imej baik dan integriti, SPRM harus menjamin bahawa maklumat dalamannya tidak bocor," kata Khairuddin dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
BACA: Zahid Hamidi minta tiada perhimpunan diadakan di SPRM Rabu ini
BACA: Lokman ketandusan idea mahu cemar imej PH - Khairuddin
Pada Isnin, Lokman yang juga Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat Malaysia, dalam satu mesej melalui aplikasi Whatsapp memberitahu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, akan hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada Rabu ini untuk memberi keterangan.
Tegas Khairuddin, rahsia kerajaan itu tidak boleh dibocorkan, terbocor secara sewenang-wenangnya atau tersebar melalui apa juga sistem pesanan.
"SPRM harus memanggil dan menahan Lokman untuk siasatan dari mana dia memperolehi maklumat dalaman SPRM tersebut," jelasnya.
Ahmad Zahid pada hari sama meminta supaya tiada sebarang perhimpunan diadakan pada Rabu ini di hadapan Ibu Pejabat SPRM.
Menerusi kenyataan di laman Twitternya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, kehadiran beliau ke SPRM hanya untuk memberi keterangan.
Sebelum ini juga, Ahmad Zahid dipanggil memberi keterangan berhubung penyelewengan dana 1MDB dan sebuah yayasan miliknya.
BACA: Saya sudah lunas bayaran kad kredit pada 2016 - Zahid Hamidi
Pada 2 Julai lalu, Ahmad Zahid hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi memberi keterangan berhubung siasatan dua kes itu.
#1MDB #Ahmad Zahid Hamidi #beri keterangan #integriti #kawan dalam SPRM #Khairuddin Abu Hassan #Lokman Noor Adam #maklumat bocor #perhimpunan #rahsia kerajaan #ramalan tepat #SPRM #UMNO #yayasan
;