Siasat segera pihak hina Sultan Selangor - Rizam
Astro Awani
Oktober 6, 2019 17:12 MYT
Oktober 6, 2019 17:12 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa meneruskan siasatan dengan lebih terperinci dan segera mengambil tindakan yang tegas terhadap mereka yang terlibat dalam isu melibatkan penghinaan kepada Institusi Raja-Raja Melayu.
Ketua Pemuda UMNO Selangor, Rizam Ismail menegaskan, ia isu sensitif serta serius dan tidak sepatutnya berlaku kerana melibatkan penghinaan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959 dan Rukun Negara.
"Rakyat Selangor khususnya orang Melayu dikejutkan dengan hantaran Facebook 'Nga Kor Ming Super Fans Page' yang jelas dengan niat jahat telah menghasut dan menghina institusi Raja seolah-olah mempersoal atau mempertikai titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan isu papan tanda jalan dwibahasa.
"Kami yakin laporan polis yang dibuat sendiri oleh pengiring kepada Sultan Selangor berkenaan isu ini menunjukkan bahawa perkara ini adalah serius sehingga membawa kepada kemurkaan Sultan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.
Rizam berkata demikian selepas membuat laporan polis mengenai isu berkenaan di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya sedang menyiasat laporan yang mendakwa satu kenyataan biadap berunsur hasutan terhadap Sultan Selangor yang telah dimuatnaik di laman sosial Facebook.
Laporan itu dibuat pengiring Sultan Selangor di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam pada 11.15 pagi pada Isnin.
Minggu lalu tersebar hantaran daripada FB dengan nama ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ yang didakwa mengajak kaum Cina melakukan bantahan berkaitan penggunaan tulisan jawi.
Sementara itu pada Khamis, Setiausaha Sulit Kanan Nga Kor Ming, Tan Tiong Yih membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan merujuk kepada hantaran beliau dalam Facebook yang didakwa memfitnah Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu.
Ia berkaitan isu penghinaan terhadap Sultan Selangor membabitkan tanda jalan, dimuat naik dalam Facebook Nga Kor Ming Super Fans yang didakwa fitnah.
Menurut Tiong Yih, selain laporan polis, pihaknya juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta merujuk perkara itu kepada penasihat undang-undang supaya tindakan perundangan wajar diambil terhadap Najib.
#Cina
#Dewan Rakyat
#Facebook
#JAWI
#Ketua Polis Negara
#Melayu
#Najib Razak
#Nga Kor Ming
#shah alam
#SKMM
#UMNO