Siasat segera individu persenda agama - MUDA

Pia Ernadya
Februari 15, 2024 15:45 MYT
Abdul Rahman (kiri) berkata tindakan Dd Chronicle (kanan) boleh dianggap menghina mahkamah.
KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Kelantan, kecewa dengan tindakan pempengaruh media sosial, Dd Chronicle berkaitan video parodi yang didakwa mempersendakan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam isu enakmen syariah Kelantan.
Ketua Penerangannya, Abdul Rahman Khairuddin berkata, pihaknya menggesa pihak berkuasa segera menyiasat mana-mana individu yang menghina agama.
Beliau juga berkata, tindakan Dd Chronicle itu boleh dianggap menghina mahkamah.
"Tindakan Dd Chronicle boleh tergelincir ke dalam bidang kuasa Peguam Negara untuk memulakan tindakan mahkamah bagi penguatkuasaan kesalahan 'menghina mahkamah', selaras perkara 126 Perlembagaan Persekutuan.
“Kami berharap agar semua pihak memahami kepentingan menghormati keluhuran Perlembagaan dan kuasa mahkamah serta tidak mempermainkan mana-mana keputusan mahkamah.
“Walaupun dia telah membuat permohonan maaf secara terbuka dengan memadam video berkenaan, kesan tindakannya telah membangkitkan anggapan serong terhadap institusi mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Katanya, MUDA Kelantan turut akan membuat laporan polis berkaitan isu itu.
"Tindakan ini selaras dengan Pemuda Parti Amanah (Amanah) di mana mereka juga akan membuat laporan polis terhadap Dd Chronicle," katanya.
Video parodi berdurasi tiga minit 55 saat itu memaparkan Dd Chronicle menyatakan bahawa perbuatan minum arak dan berjudi tidak akan dikenakan hukuman.
Bagaimanapun, pada Rabu pempegaruh tersebut tampil memberi penjelasan dan memadam video berkenaan demi menghormati undang-undang.
#muda #Dd Chronicle #Peguam Negara
;