Siasat polis enggan terima laporan kemalangan

Sinar Harian
Oktober 14, 2023 18:18 MYT
Tular rakaman video memaparkan seorang pelajar perempuan nyaris dilanggar lori yang gagal berhenti ketika lampu isyarat bertukar merah di hadapan sebuah sekolah di Batu Gajah. - Gambar/ Sinar Harian
IPOH: Polis akan menjalankan siasatan terhadap dakwaan anggotanya enggan menerima laporan dibuat keluarga pelajar perempuan yang hampir dilanggar lori.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, perkara itu akan dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah terlibat.
"Pihak polis tidak pernah menolak sesiapa untuk membuat laporan, tidak kira di mana pun.
"Apa pun, saya akan dapatkan laporan daripada Ketua Polis Daerah Batu Gajah dahulu. Sebarang tindakan akan diambil jika didapati dakwaan itu benar," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Terdahulu tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang pelajar perempuan nyaris dilanggar sebuah lori yang gagal berhenti ketika lampu isyarat bertukar merah di hadapan sebuah sekolah di Batu Gajah.
Bagaimanapun, didakwa anggota polis bertugas tidak mahu menerima laporan yang dibuat keluarga pelajar terbabit dengan alasan kemalangan tidak berlaku. - Sinar Harian
#video tular #polis enggan siasat #polis tolak laporan #Batu Gajah
;