Siasat lesen perniagaan warga tempatan kahwin warga asing

Rahimah Abdullah
Disember 28, 2015 17:38 MYT
AHMAD ZAHID: Ada rakyat Malaysia yang sanggup menjadi isteri dan menggunakan kedudukan warga Malaysia untuk mempunyai lesen perniagaan.
Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) digesa memberi kerjasama penuh kepada kerajaan untuk menangani isu kebanjiran peniaga warga asing di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia termasuk menyiasat pengeluaran lesen perniagaan kepada warga tempatan yang berkahwin dengan pelajar asing.
"Kami yakin kekhuatiran rakyat Malaysia ada asasnya, sebab ada rakyat Malaysia yang sanggup menjadi isteri dan menggunakan kedudukan warga Malaysia untuk mempunyai lesen perniagaan.
"Jadi lesen itu adalah lesen rakyat Malaysia yang menjadi isteri pelajar berkenaan. Tentunya kami memerlukan kerjasama kerajaan negeri terutama PBT yang mengeluarkan lesen berkenaan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis Deklarasi Prioriti 2016 "Ekonomi Keutamaan Kita" anjuran Yayasan Damai Sejahtera Malaysia (YSDM) di sini hari ini.
Mengulas kebanjiran pelajar warga Afrika di negara ini, jelasnya, tidak semua antara mereka yang dilaporkan melakukan jenayah.
Bagaimanapun kata Menteri Dalam Negeri itu, kerajaan akan sentiasa melakukan pemantauan selain mengambil tindakan ke atas aduan terhadap golongan berkenaan.
"Kami telah mengadakan mesyuarat antara Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia dan beberapa pihak agensi penguatkuasa.
"Tidak adil menuduh semua (melakukan jenayah). Namun, ada pelajar daripada negara berkenaan telah menyalahgunakan visa pelajar. Mereka masuk ke langguage centre tetapi tidak belajar," jelasnya.
Pihaknya juga telah melakukan siasatan dan tindakan berdasarkan Akta Imigresen dan akta-akta lain.
"Kita prihatin mengenai laporan media yang dibuat bahawa sesetegah pelajar negara itu, mereka telah elakukan jenayah termasuk membuat makmal proses dadah . Beberapa tangkapan telah dilakukan taskforce," tambah Ahmad Zahid.
#Ahmad Zahid Hamidi #kerajaan #pbt #PDRM #warga asing
;