Siasat laporan bukan bermakna tangkap Tun M - Wan Junaidi

Wan Syamsul Amly
April 14, 2015 09:18 MYT
WAN JUNAIDI: Siasat laporan bukan bermakna tangkap Tun M - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Semua pihak harus jelas siasatan yang akan dilakukan terhadap laporan polis kepada Tun Dr Mahathir Mohamad bukan bermakna tangkapan akan dibuat terhadap bekas perdana menteri itu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, prosedur siasatan akan menentukan sama ada Dr Mahathir membuat kesalahan atau sebaliknya.
"Bukan semua siasatan itu akan ada tangkapan. Siasatan menentukan sama ada individu di dalam laporan itu membuat kesalahan atau tidak," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Wan Junaidi mengulas kenyataannya mengenai siasatan yang akan dibuat terhadap laporan polis terhadap Dr Mahathir.
Jelasnya, tidak ada individu yang akan dikecualikan daripada tindakan undang-undang.
Sebelum ini, Pertubuhan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melancarkan satu siri laporan polis terhadap Dr Mahathir atas dakwaan menghasut.
Antara cawangan SAMM yang telah berbuat demikian termasuk Pahang, Selangor dan Pulau Pinang.
Laporan itu adalah berkaitan kenyataan Dr Mahathir mengenai kes pembunuhan model warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada satu catatan blognya.
Sementara itu, Presiden Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM), Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan menyifatkan SAMM sebagai sebuah organisasi berspesis batu api yang tidak akan berpuas hati walaupun 1,000 laporan polis dibuat terhadap Dr Mahathir.
Jelas Khairul Azam, SAMM dilihat tetap akan mempertikaikan prosedur seterusnya walaupun proses kedua dan ketiga melibatkan sistem penghakiman negara dilakukan terhadap Dr Mahathir.
#ggmm #Mahathir #polis #SAMM #Wan Junaidi
;