Siasat dalang sebenar 1MDB lebih penting dari cari penyebar video di ILMU - Azwan Bro
Astro Awani
Mei 22, 2015 21:39 MYT
Mei 22, 2015 21:39 MYT
Polis dan Bank Negara digesa segera menyiasat dalang di sebalik masalah aliran tunai dan hutang syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, sehingga kini, polis masih belum memberi sebarang reaksi terhadap laporan polis yang dibuat hampir dua minggu lepas ke atas laman web Sarawak Report.
"Laporan polis telah pun dibuat ke atas Sarawak Report, penglibatan Low Taek Jho, atau Jho Low serta Lembaga Pengarah 1MDB sendiri.
"Isu aliran tunai dan hutang 1MDB juga dilihat jauh lebih besar dari isu rakaman video haram ucapan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan tertutup bersama pemimpin di Institut Latihan Memperkasakan UMNO (ILMU) di Janda Baik, Sabtu lalu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Khairul Azwan mengulas laporan sebuah blog yang mengaitkan penglibatan seorang pemimpin UMNO Bahagian Segambut, Wilayah Persekutuan sebagai individu yang merakam ucapan Muhyiddin tempoh hari.
Sebelum ini, Pemuda UMNO Malaysia telah membuat laporan polis berdasarkan laporan di dalam laman web Sarawak Report mengenai transaksi 1MDB.
Laporan itu menggesa pihak berkuasa atau polis untuk melakukan siasatan dengan serta merta terhadap laporan Sarawak Report yang bertarikh 28 Februari lepas.
Laman web itu dikatakan mendapat ribuan dokumen dan emel berkenaan transaksi serta akses eksklusif salinan perjanjian usahasama bertarikh 28 September 2009 antara syarikat 1MDB dan syarikat PetroSaudi.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin meminta Jho Low disiasat di atas dakwaan penglibatan dalam isu 1MDB.
Khairy turut melahirkan harapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dapat memanggil Jho Low dalam prosiding siasatan mereka.
Pada Jumaat, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusuf berkata, parti itu sedang dalam proses menyiasat individu yang merakam video ucapan Muhyiddin di ILMU.
Katanya, siasatan yang diketuai Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu juga dijangka selesai dalam sedikit masa lagi.