'Siasat dakwaan Sarawak Report palsukan maklumat' - Rahman Dahlan
Wan Syamsul Amly
Julai 15, 2015 18:44 MYT
Julai 15, 2015 18:44 MYT
Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini mendedahkan penglibatan beberapa pemimpin pembangkang dalam sebuah video pengakuan seorang individu yang terlibat secara langsung dalam memalsukan fakta di dalam laporan portal Sarawak Report.
Tegasnya, pendedahan video itu memberitahu pemimpin pembangkang terbabit juga bersekongkol dengan pengasas Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dalam semua pemalsuan fakta berkaitan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Pengadu tersebut mendakwa mempunyai bukti kukuh bahawa wujud niat jahat oleh pihak-pihak berkepentingan untuk melunaskan misi yang digelar 'Mission to criminalize Datuk Seri Najib Tun Razak dan 1MDB'.
"Jika niat ini benar, ianya adalah satu perbuatan dahsyat dan bertujuan untuk menjatuhkan nama baik dan maruah kerajaan dalam mentadbir urus negara, di samping bertujuan untuk memesongkan rakyat supaya membenci kerajaan," katanya semasa sidang media di pejabatnya di sini.
Katanya lagi, satu laporan polis juga sudah dibuat di Balai Polis Petaling Jaya pada Rabu mengenai isu berkenaan.
Sarawak Report bertarikh 9 Julai sebelum ini mengeluarkan laporan yang mengaitkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dengan transaksi berjumlah RM2 juta yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.
Sebelum ini, negara digemparkan dengan laporan berita The Wall Street Journal (WSJ) yang mendedahkan apa yang didakwa sebagai penemuan oleh penyiasat Malaysia yang kononnya telah mengesan hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) didepositkan ke dalam apa yang mereka percaya sebagai akaun bank peribadi Najib.
Laporan itu berdasarkan dokumen-dokumen daripada siasatan kerajaan yang diperoleh akhbar itu dan laman web Sarawak Report.
Dalam pada itu kata Abdul Rahman, polis turut digesa memberi perhatian khusus terhadap laporan polis yang dibuat dan siasatan segera dilakukan.
"Saya juga memohon pihak polis untuk segera menghubungi rakan sejawat mereka dalam Interpol, supaya individu-individu yang dinamakan dalam video pengakuan tersebut dapat disoal siasat oleh pihak Interpol dan polis United Kingdom (UK).
"Ini penting agar bukti-bukti lain yang masih dalam tangan atau pegangan mereka tidak dimusnahkan atau dialihkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.
"Saya telah dimaklumkan bahawa individu-individu warga British yang dinamakan dalam video pangakuan tersebut hanya akan memberi keterangan jika ada penyiasatan rasmi oleh pihak berkuasa di UK," jelasnya.
Ujar Abdul Rahman, pendedahan itu perlu disiasat rapi oleh polis untuk mencari kebenaran dan keadilan kepada semua pihak yang terbabit dalam isu 1MDB.
"Selain daripada video pengakuan tersebut, saya dimaklumkan bahawa pengadu juga telah menyerahkan kepada pihak polis, sesalinan emel yang didakwa telah ditulis oleh Clare Brown.
"Antara isi kandungan emel yang bertarikh 1 Mac 2015 tersebut, Clare Brown telah didakwa menulis: 'Thanks! Yes it was quite a job!…. sitting up night after night cleverly ‘forging’ all those documents!'," katanya.
Jelasnya, pada masa ini, apa yang dimaksudkan oleh Clare Brown melalui emel itu tidak dapat dipastikan.
"Tetapi oleh kerana sejak akhir-akhir ini ramai pihak yang ragu dengan Clare Brown dan laporan Sarawak Report memalsukan fakta, saya berharap pihak Interpol, polis UK serta PDRM dapat menyiasat apa yang dimaksudkan dalam emel berkenaan," ujarnya.