Siaran percubaan televisyen digital di pantai timur tahun depan - Shabery

Bernama
Disember 24, 2013 13:57 MYT
Ahmad Shabery Cheek - Gambar Fail
Kementerian Komunikasi dan Multimedia dijangka melaksanakan siaran percubaan televisyen digitalnya di kawasan pantai timur bermula pertengahan tahun depan.
Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata langkah itu bagi memudahkan pihaknya meneliti kualiti perkhidmatan memandangkan kepadatan penduduk di kawasan terbabit masih rendah.
"Kita mulakan di kawasan pantai timur dahulu dan beberapa kawasan di utara sebelum ke kawasan berkepadatan tinggi," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan dividen projek ternakan ayam pedaging di bawah Program Azam Tani, di sini hari ini.
Menurutnya projek pembangunan infrastruktur televisyen digital dengan kos kira-kira RM1 bilion itu dijangka siap sepenuhnya pada 2017 sebelum kerajaan menghentikan terus perkhidmatan analog pada 2020.
Sementara itu, Ahmad Shabery berkata kementeriannya berazam untuk meningkatkan lagi mutu dan liputan perkhidmatan telekomunikasi di seluruh negara pada tahun depan agar dapat bergerak seiring dengan perkembangan semasa.
"Keutamaan bukan sahaja dari segi liputan tetapi juga kelajuan," katanya.
Langkah itu katanya demi memastikan pengguna dapat berhubung serta memperoleh maklumat dengan lebih efisien.
#digital #Shabery Cheek #televisyen
;