Siaran langsung sidang Dewan Rakyat kini ada jurubahasa isyarat
Bernama
Ogos 24, 2020 15:30 MYT
Ogos 24, 2020 15:30 MYT
Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran kini berpeluang mengikuti persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara apabila buat pertama kalinya siaran langsung persidangan itu menggunakan khidmat jurubahasa isyarat.
Ahli Dewan Negara, Senator Ras Adiba Radzi berkata, pembaharuan yang bermula hari ini itu disifatkan satu sejarah kepada golongan OKU pendengaran di negara ini bagi membolehkan mereka mengikuti perkembangan persidangan Parlimen secara langsung.
"Buat masa ini jurubahasa isyarat ini akan bersama siaran selama dua jam melalui siaran langsung di TV1 bermula jam 10 sehingga 12 tengah hari, kita akan cuba panjangkan waktu untuk terjemahan ini sehingga 5 petang," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia (MyAsli), Wan Zuraidah Abu.
Ras Adiba berkata, pembaharuan itu adalah hasil perbincangannya dengan pihak Parlimen dan MyAsli serta dengan pengalaman jurubahasa isyarat di MyAsli, beliau yakin, mereka (jurubahasa) boleh memberikan perkhidmatan terbaik.
Setakat ini katanya, terdapat sembilan orang jurubahasa isyarat akan menerajui siaran langsung persidangan Parlimen dengan sejam setiap orang.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran TV1 telah menyiarkan secara langsung persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara selama dua jam setiap kali persidangan berlangsung.
Sidang Parlimen juga boleh diikuti sepanjang masa persidangan menerusi laman web RTM iaitu http://rtmparlimen.rtm.gov.my dan siaran laman web ini boleh dilayari menerusi komputer, tablet serta telefon pintar.
Dalam pada itu, Ras Adiba menyeru OKU di negara ini yang belum mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya berbuat demikian.
"Setakat ini OKU yang mendaftar dengan JKM belum mencapai 570,000 sedangkan bilangan OKU di negara ini mengikut nisbah ialah 4.7 juta orang," katanya.