Siaran langsung mahkamah boleh bawa kebaikan serta keburukan
Muzaffar Syah Mallow
April 21, 2019 09:31 MYT
April 21, 2019 09:31 MYT
PERBICARAAN mahkamah yang ingin dibuat secara langsung melalui kaca televisyen serta media sosial boleh membawa kepada beberapa kebaikan serta mengundang keburukan. Antara kebaikan yang boleh dibawa melalui perbicaraan mahkamah yang ingin dibuat secara langsung ialah ia dapat meningkatkan tahap keyakinan orang ramai terhadap sistem perundangan dan keadilan dalam negara kita. Sekiranya sesuatu proses perbicaraan mahkamah dibuat secara langsung, orang awam dapat menyaksikan proses perbicaraan dari peringkat awal perbicaraan sehingga akhir perbicaraan. Ini dapat memberi ruang dan peluang kepada orang ramai untuk menilai sendiri perjalanan proses undang–undang serta persembahan bahan bukti yang digunakan untuk menyokong kes yang terlibat. Sekaligus dapat mengurangkan sebarang rasa curiga atau perasaan syak wasangka terhadap mana–mana pihak yang terlibat dengan perbicaraan mahkamah terbabit.
Perbicaraan mahkamah yang dilakukan secara langsung ini juga dapat memudahkan orang ramai untuk terlibat sama dalam perjalanan proses perbicaraan yang terlibat. Tidak semua orang dapat meluangkan masa dan tenaga untuk pergi ke kompleks mahkamah serta menghayati perjalanan proses perbicaraan yang berlaku dalam mahkamah.
Tidak semua orang boleh memasuki bilik perbicaraan kerana ruangnya yang terhad untuk beberapa orang sahaja pada masa–masa tertentu. Orang yang ingin masuk ke bilik perbicaraan juga tidak bebas melakukan sebarang perkara yang mereka hajati kerana terdapat beberapa peraturan yang perlu mereka hormati ketika berada di dalamnya. Segala peraturan yang dibuat ini bagi menghormati mahkamah dan kedudukan hakim yang membicarakan kes serta bagi tidak menganggu perjalanan proses perbicaraan ketika berada di dalam mahkamah.
Sekiranya proses perbicaraan dibuat secara langsung, orang ramai tidak perlu serta membuang masa dan tenaga mereka untuk ke mahkahmah kerana mereka boleh melihat proses perbicaraan mahkamah secara langsung diruang tamu dalam rumah mereka sendiri. Melihat proses perbicaraan mahkamah secara langsung dari rumah ini dapat memberi banyak keselesaan kepada orang ramai yang ingin melihat perjalanan sesebuah perbicaraan mahkamah. Pada masa yang sama juga dapat mengurangkan kesesakan di kompleks mahkamah kerana orang ramai tidak perlu hadir ke kompleks mahkahmah untuk melihat dan mendengar sendiri kes perbicaraan yang sedang berlangsung.
Selain membawa kebaikan, perbicaraan mahkamah yang ingin dilakukan secara langsung ini juga boleh mengundang kepada beberapa keburukan. Antara keburukannya ialah perjalanan proses perbicaraan mahkamah yang panjang akan membuatkan proses siaran langsung ini dilihat sebagai membuang masa serta bakal membazirkan kos penyiaran. Proses mahkamah selalunya akan melibatkan dua pihak iaitu pihak pendakwa serta pihak yang dituduh. Pihak pendakwa akan berusaha sedaya upaya mereka untuk membuktikan segala pertuduhan yang dibuat terhadap mereka yang dituduh. Manakala pihak yang dituduh pula akan melakukan sedaya upaya mereka untuk mempertahankan diri mereka daripada disabitkan dengan pertuduhan yang dilemparkan kepada mereka. Pihak mahkamah akan membuat keputusan setelah selesai mendengar segala hujah dan bukti yang diberikan oleh kedua–dua pihak akan memberi keputusan terhadap kes yang dibicarakan.
Keputusan yang diberikan ini bukanlah penamat kerana pihak–pihak yang terlibat diberi ruang dan peluang untuk melakukan proses rayuan dimahkamah rayuan dan seterusnya. Segala proses ini akan memakan masa, oleh itu adalah tidak logik dan realistik untuk siaran langsung ini dilakukan terhadap proses perbicaraan yang terlibat dari awal sehingga akhir. Banyak kerja lain yang lebih berfaedah untuk orang ramai lakukan selain daripada duduk depan kaca televisyen atau media sosial semata–mata untuk melihat perbicaraan sesuatu kes yang boleh memakan masa berminggu–minggu, berbulan–bulan dan bertahun–tahun lamanya. Adalah tidak adil juga untuk membenarkan proses perbicaraan dilakukan secara langsung terhadap satu kes sahaja tanpa melibatkan semua kes yang ada di dalam mahkamah. Semua kes perbicaraan harus diberi layanan yang sama adil dan saksama sekiranya kita ingin melaksanakan proses siaran langsung ini.
Proses perbicaraan yang dilakukan secara langsung ini juga boleh mengundang risiko kepada kestabilan dan keharmonian dalam negara kita yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum ini. Tidak semua orang memiliki ilmu dan pemahaman undang–undang yang mendalam dalam negara kita. Proses mahkamah akan melibatkan pengunaan pelbagai jenis peruntukkan undang–undang serta istilah undang–undang yang kompleks dan amat sukar untuk difahami oleh orang ramai yang tidak memiliki ilmu mendalam dalam bidang perundangan. Ketidakkefahaman terhadap peruntukkan undang – undang dan istilah undang–undang yang kompleks ini akan menyebabkan orang ramai keliru serta mula mengeluarkan pendapat masing–masing. Pendapat yang berbeza ini akhirnya boleh melahirkan konflik dan pergaduhan antara orang ramai.
Pihak–pihak yang berkaitan dalam perkara ini perlu berfikir panjang sebelum memberi sebarang keputusan muktamad sama ada untuk membenarkan siaran langsung perbicaraan mahkamah dilakukan ataupun tidak. Setiap keputusan muktamad yang ingin diambil terhadap perkara ini perlu memberi keutamaan kepada keselamatan orang ramai dan kestabilan negara kita.
*Dr Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
**Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.
#bekas perdana menteri
#Datuk Seru Najib Razak
#mahkamah
#Media
#media sosial
#Muzaffar Syah Mallow
#video perbicaraan