Siar secara langsung prosiding penjelasan kes DNAA Zahid - Amirudin

Ridauddin Daud
September 13, 2023 13:49 MYT
Amirudin (PH-Gombak) berpendapat usaha itu membolehkan rakyat mendengar sendiri dan memahami isu berkenaan yang kini mendapat perhatian meluas. -Gambar fail/Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Prosiding penjelasan berkaitan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan wajar disiarkan secara langsung.
Cadangan itu disuarakan Datuk Seri Amirudin Shari (PH - Gombak) yang berpendapat usaha itu membolehkan rakyat mendengar sendiri dan memahami isu berkenaan yang kini mendapat perhatian meluas.
Menurutnya, beliau berharap Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi memberi pertimbangan kepada cadangan tersebut kerana kes itu sudah menjadi isu rakyat.
"Saya percaya proses JKPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi wajar diadakan secara 'live telecast' (siaran langsung) ataupun pendengaran awam yang boleh didengar oleh rakyat kerana ia telah menjadi isu rakyat.
“Saya tak nak pertahan siapa-siapa di sini, kalau salah (tetap) salah, sebab itu saya minta pendengaran itu bukan dihadiri oleh Ahli Parlimen sahaja.
“Sewajarnya ia dibuat melalui pendengaran terbuka supaya semua pihak boleh mendengar penjelasan Peguam Negara,” katanya.
Selain Amirudin, beberapa Ahli Parlimen turut menyentuh isu DNAA melibatkan Ahmad Zahid termasuk Lim Guan Eng (PH - Bagan), Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh), Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut), dan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang).
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi William Leong Jee Keen pada Selasa berkata jawatankuasa itu akan memanggil Ahmad Terrirudin untuk memberikan penjelasan berhubung keputusan DNAA Ahmad Zahid.
Katanya bekas Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun juga akan dipanggil untuk memberi penjelasan dan satu laporan akan dibentangkan selepas prosiding itu dilaksanakan.
Dalam pada itu, berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya pula, Amirudin menggesa Kerajaan Persekutuan melaksanakan segera agenda terbabit.
#Amirudin Shari #DNAA #Peguam Negara #Zahid Hamidi
;