PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mengingatkan orang ramai agar tidak menerbitkan sebarang gambar kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding jenayah di media.

Menerusi catatan di laman Facebook rasmi, beliau berkata tindakan itu boleh membawa kepada pertuduhan jenayah.

"Merujuk kepada kes yang melibatkan kanak-kanak dalam prosiding jenayah baru-baru ini, saya ingin mengingatkan orang ramai tentang subseksyen 15(2) Akta Kanak-Kanak 2001 yang melarang penerbitan sebarang gambar kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding jenayah di media.

"Pelanggaran peruntukan ini boleh mengakibatkan pertuduhan jenayah. Kita perlu meletakkan kepercayaan kepada undang-undang dan proses sewajarnya apabila menangani kes yang melibatkan kanak-kanak," katanya.

Azalina merujuk kepada kes yang melibatkan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang didakwa memandu tanpa lesen di Mahkamah Majistret, Sepang pada Isnin lepas.

Kes itu mendapat perhatian ramai apabila tular video berdurasi satu minit 49 saat memaparkan seorang wanita menahan kereta jenis Perodua Viva yang dipandu seorang remaja lelaki dan turut dinaiki dua kanak-kanak, bulan lepas.

Kanak-kanak lelaki itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu kereta Perodua Viva di Taman Putra Impiana, Puchong, Selangor pada 7.30 malam 28 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39(5) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan menetapkan jaminan RM500 dan 4 Sept ini sebagai tarikh sebutan kes.

-- BERNAMA