'Siapapun dipilih sebagai presiden, hubungan Malaysia-Indonesia tetap kukuh' - Duta

Bernama
Februari 11, 2024 10:30 MYT
Hermono meluahkan keyakinan bahawa ketiga-tiga calon presiden - Prabowo Subianto, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo - cukup arif mengenai Malaysia. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Hubungan dua hala Indonesia dan Malaysia akan terus kukuh walau siapapun yang bakal dipilih sebagai presiden negara itu dalam Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2024 pada 14 Feb ini, kata Duta Besar Indonesia ke Malaysia Datuk Hermono.
Beliau berkata hubungan Indonesia-Malaysia terjalin atas asas yang kuat sebagai negara berjiran, selain mempunyai kepentingan bersama untuk mengukuhkan kerjasama.
Hermono meluahkan keyakinan bahawa ketiga-tiga calon presiden - Prabowo Subianto, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo - cukup arif mengenai Malaysia.
"Saya tahu betul ketiga-tiga calon, semuanya sudah mengenal sangat baik soal Malaysia dan saya yakin semuanya berkepentingan untuk terus membangun hubungan yang lebih kuat antara kedua-dua negara," katanya kepada Bernama dalam temubual di pejabatnya baru-baru ini.
Hermono berkata hubungan dua hala yang kukuh penting untuk kesejahteraan kedua-dua negara serta Asia Tenggara, sambil menyifatkan Malaysia dan Indonesia sebagai sauh (anchor) untuk kestabilan dan kemakmuran rantau ini.
Beliau turut berharap presiden yang bakal dipilih nanti akan mempercepatkan penyelesaian isu sempadan dan isu pekerja migran Indonesia di Malaysia yang disifatkannya sebagai "homework" untuk pemimpin kedua-dua negara.
"Kalau dua isu ini boleh kita selesaikan, saya kira hubungan Malaysia dan Indonesia akan lebih kuat lagi. Tiada lagi halangan kerana kedua-dua negara mempunyai kepentingan bersama (common interest) dan ingin maju dan memperkuat hubungan dua hala," katanya.
Ditanya mengenai bidang kerjasama baharu, Hermono berkata kedua-dua negara sepakat untuk mengukuhkan kerjasama membangunkan bidang keselamatan makanan dan tenaga bersih.
Bidang berkenaan sangat strategik untuk Malaysia dan Indonesia memandangkan kedua-dua negara saling melengkapi antara satu sama lain.
"Indonesia mempunyai tanah yang luas dan pekerja yang banyak. Malaysia tanahnya tidak seluas Indonesia, pekerja pertanian juga tidak banyak, tetapi Malaysia mempunyai teknologi yang lebih tinggi (advance) di bidang pertanian.
"Dalam sektor tenaga, sampai saat ini pun Malaysia banyak membeli arang batu dari Indonesia untuk penjanaan tenaga, tetapi untuk masa akan datang, kita harus membangunkan tenaga bersih. Jadi saya kira ini bidang yang sangat strategik bagi kedua-dua negara," katanya.
Kira-kira 240 juta rakyat Indonesia akan menunaikan tanggungjawab mengundi dalam Pemilu 2024 pada Rabu depan (14 Feb) ini untuk memilih presiden, naib presiden, ahli Perhimpunan Perundingan Rakyat dan wakil untuk badan perundangan tempatan.
-- BERNAMA
#PEMILU 2024 #Hermono #presiden #pilihan raya
;