Siapapun bertanding di Kajang, Pakatan Rakyat akan menang, kata penganalisis

Teoh El Sen
Mac 8, 2014 08:00 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim
Keputusan Mahkamah Rayuan mensabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan liwat mencampakkan Pakatan Rakyat kembali ke petak pertama untuk mencari calon baru bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Kajang sebelum penamaan calon Selasa ini.
Penganalis politik bagaimanapun berpendapat biarpun keputusan mahkamah itu meranapkan peluang Anwar untuk jadi Menteri Besar Selangor yang baru, ia hampir memastikan kemenangan Pakatan Rakyat di Kajang dan meningkatkan sokongan umum kepada pakatan pembangkang itu.
Ibrahim Suffian dari Merdeka Center berpendapat siapapun yang dinamakan menggantikan Anwar sebagai calon Pakatan Rakyat "hampir pasti" akan menang dalam pilihan raya kecil itu.
"Pakatan Rakyat akan menggunakan keputusan mahkamah itu untuk menambah sokongan dan mereka akan dapat undi simpati kepada Anwar.
"Kita telah lihat (sebelum ini) bagaimana rakyat tidak begitu percaya dengan pertuduhan yang dihadapi oleh Anwar. Ditambah pula dengan isu kenaikan harga barang dan inflasi, undi dijangka akan memihak kepada Pakatan Rakyat," katanya.
Ibrahim turut merujuk kepada tinjauan pendapat yang dijalankan oleh Merdeka Center semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 2008 yang mendapati 59 peratus responden percaya tuduhan ke atas Anwar bermotifkan politik.
Ketua Pengarah Eksekutif Centre for Strategic Engagement (CENSE), Fui K. Soong bagaimanapun berpendapat jangkaan itu belum muktamad terutamanya di kalangan pengundi Melayu.
"Kita perlu masa beberapa hari untuk melihat bagaimana sokongan pengundi Melayu kerana sokongan mereka terbelah tiga. Tetapi saya rasa ia tidak begitu baik untuk BN.
"Kumpulan yang menyokong Khalid (Menteri Besar Selangor) dan PAS, yang tidak yakin kepada Anwar, serta 30 peratus dalam PKR yang anti Anwar kini kembali menyokong Pakatan Rakyat. Mereka marah dan ada alasan untuk kembali bersatu," kata Fui.
Beliau menambah sabitan dan hukuman ke atas Anwar itu akan "menjauhkan lagi sokongan pengundi Cina dan India (kepada BN)."
Mahkamah Rayuan pada Jumaat membenarkan rayuan pendakwa dengan mensabitkan Anwar atas tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan enam tahun lalu.
Anwar dijatuhkan hukuman penjara lima tahun tetapi dibenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000, yang akan dikemukakan kepada mahkamah sebelum 11 pagi Isnin ini, sementara menunggu peguamnya mengemukakan permohonan untuk rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
Anwar kemudian membuat pengumuman tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Kajang tetapi akan turun berkempen membantu Pakatan Rakyat. Tetapi tanpa pengumuman itu pun, berdasarkan undang-undang tubuh kerajaan negeri Selangor, Anwar hilang kelayakan bertanding kerana sabitan dan hukuman tersebut.
Sementara itu, penganalisis politik Khoo Kay Peng pelan penyatuan semula yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kini "jadi sia-sia" susulan keputusan Mahkamah Rayuan itu.
"(Keputusan ini) membuka luka lama politik," kata Khoo, merujuk kepada suasana politik semasa Reformasi 1998 dan pertuduhan liwat pertama yang dihadapi oleh Anwar.
"Kerajaan boleh mengatakan bahawa institusi kehakiman negara bebas tetapi jentera politik pembangkang akan menyalahkan kerajaan dan mendakwa wujud campur tangan.
"Peluang untuk penyatuan semula sudah hancur. Keadaan akan jadi lebih sukar kerana kita kini patah balik ke petak pertama, kembali ke zaman Liwat I, politik permusuhan dan perpecahan, pembangkang menyeru kepada kerajaan alternatif dan Anwar sekali lagi jadi faktor penyatu," katanya.
Firma penyelidikan media sosial PoliTweet sebelum itu meramalkan Pakatan Rakyat "hampir pasti mengekalkan kerusi" dalam pilihan raya kecil DUN Kajang.
Berdasarkan trend pengundian dalam keputusan PRU-12 dan PRU-13, ia membuat perkiraan akan ada peningkatan sokongan kepada Pakatan Rakyat daripada pengundi Cina merentas umur serta penurunan sokongan pengundi Melayu yang berumur 43 tahun ke atas.
PoliTweet berpendapat untuk menang pilihan raya kecil DUN Kajang, BN memerlukan peralihan undi sekurang-kurangnya 24 peratus kepadanya dengan syarat ia mengekalkan sokongan yang diterima dalam pilihan raya sebelum ini.
#Anwar Ibrahim #DUN Kajang #fui k soong #ibrahim suffian #Kajang #Khoo Kay Peng #merdeka centre #PoliTweet
;