Siapa tujuh pegawai eksekutif GLC Perak dipecat?
Bernama
Jun 24, 2018 20:08 MYT
Jun 24, 2018 20:08 MYT
Kerajaan negeri Perak di bawah Pakatan Harapan (PH) telah memecat tujuh pegawai eksekutif sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dilantik di bawah pemerintahan kerajaan terdahulu setelah didapati berbelanja melebihi yang sepatutnya.
Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata pemecatan semua tujuh pegawai eksekutif itu dibuat susulan peletakkan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan.
Tanpa mendedahkan nama GLC berkenaan, Ahmad Faizal berkata pemecatan itu juga akan menjimatkan perbelanjaan kos kerajaan negeri sebanyak RM150,000 sebulan iaitu kira-kira RM1.6 juta setahun.
"Apa yang saya nampak ada yang tidak masuk akal kerana syarikat itu pun bukan buat untung yang banyak tetapi mempunyai perbelanjaan dan pegawai yang tidak perlu.
"Dan perkara ini kita terpaksa warisi atau hadapi sekiranya saya ambil pendekatan mengecilkan perbelanjaan saya terpaksa memecat begitu ramai pekerja dan mereka hilang pendapatan," katanya kepada pemberia selepas hadir pada majlis Tambun Berhari Raya bersama PH di sini hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri akan memikirkan cara yang terbaik untuk menyelesaikan isu perbelanjaan besar tersebut dengan bijaksana.
"Syarikat GLC yang mana, tidak mahu saya sebutkan sehingga saya selesaikan masalah ini.
"Seperti dalam manifesto PH juga banyak perkara yang kita akan bentang dalam dewan (Dewan Undangan Negeri), jadi ini akan menjadi pengetahuan umum akhirnya," katanya.
Sementara itu, beliau berkata barisan exco kerajaan Perak akan menggunakan kenderaan yang sama dipakai oleh exco di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.
"Saya mengambil keputusan untuk tidak membeli apa-apa kereta baru tahun ini, malah nanti akan ada pengumuman mungkin ada lelongan kereta daripada GLC kerana banyak kereta yang tak perlu sebenarnya.
"Untuk peringkat kerajaan negeri bagi barisan exco sahaja memang tiada peruntukan membeli kereta tahun ini tapi tahun depan, kita akan lihat keadaan kereta itu balik," katanya.
--BERNAMA