'Siapa saya nak larang pegawai, anggota pandu kereta mewah, tapi isytihar harta dulu' - Mohd Shuhaily

Umavathi Ramayah
Oktober 11, 2023 23:01 MYT
Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, semua pegawai dan anggota polis yang menjawat jawatan-jawatan sensitif diarah untuk mengisytiharkan harta masing-masing dengan segera. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Semua pegawai dan anggota polis yang menjawat jawatan-jawatan sensitif diarah untuk mengisytiharkan harta masing-masing dengan segera, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Beliau memberitahu, antara jawatan sensitif itu adalah Pegawai Risikan dan Operasi, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) dan pegawai di Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7).
"Bagi KBSJD, hanya daerah yang mempunyai risiko tinggi menerima rasuah, bukan semua KBSJD yang jatuh dalam kelompok ini.
"Kami sudah mulakan inisiatif semua penjawat jawatan sensitif ini diarahkan isytihar harta masing-masing dan pengisytiharan itu itu perlu telus dan komprehensif.
“Sekiranya seseorang itu mampu maka berikan sebab, saya tidak melarang sesiapa beli kereta, sekiranya dia mampu, apa salahnya.
"… kalau ada sumber kewangan yang sah, siapa saya nak larang memakai kenderaan tersebut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, pada Rabu.
Mohd Shuhaily menambah, tawaran sama dibuka kepada mana-mana pegawai atau anggota yang berminat untuk memegang jawatan berkenaan supaya mengemukakan surat permohonan berserta borang pengistiharan harta,
Katanya, untuk mengekalkan integriti pasukan itu, polis akan melakukan audit secara berterusan.
#Mohd Shuhaily Mohd Zain #isytihar harta #Polis Diraja Malaysia #jawatan sensatif
;