Siapa Raja Laut? Ini penjelasan pejabat Sultan Selangor
Astro Awani
Oktober 6, 2020 15:27 MYT
Oktober 6, 2020 15:27 MYT
KUALA LUMPUR: Pejabat Sultan Selangor hari ini menjelaskan Raja Laut yang namanya diabadikan di sebatang jalan di Kuala Lumpur sebenarnya merupakan seorang pembesar di negeri tersebut.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman media sosial rasmi Selangor Royal Office itu berkongsi sejarah latar belakang Raja Laut yang diputerakan pada 1850 dan merupakan putera kedua Sultan Selangor ke-3, Almarhum Sultan Muhammad Shah Ibni Almarhum Sultan Ibrahim Shah.
Kenyataa itu berkata, Almarhum juga adalah anak saudara kepada Sultan Selangor ke-4, Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Tengku Abdullah.
"Almarhum mendapat nama gelaran ‘Laut’ kerana dikatakan dilahirkan ketika bondanya berada di perairan sekitar Lukut.
"Almarhum tersohor sebagai ketua masyarakat Melayu di Kuala Lumpur pada tahun 1880 dan antara individu yang telah menyelesaikan banyak masalah yang timbul pada ketika itu.
"Almarhum yang tinggal di Kampung Rawa, pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Negeri Selangor dan bertindak sebagai hakim dan penghulu di Kuala Lumpur," jelas kenyataan Istana Selangor itu lagi.
Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan nama Jalan Raja Laut 1 kini ditukar kepada Jalan Palestin.
Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL menerusi satu kenyataan berkata, cadangan mewujudkan Jalan Palestin di Kuala Lumpur tercetus semasa Majlis Himpunan Hari Quds Sedunia yang diadakan di Dataran DBKL pada 26 hingga 31 Mei tahun lalu.
Susulan perubahan nama tersebut, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa kelihatan tidak begitu senang dengan keputusan DBKL itu dan menyuarakannya di laman Twitter peribadinya.
Dalam pada itu , kenyataan tersebut berkata, Raja Laut turut menjadi pengasas kepada penubuhan Kuala Lumpur Sanitary Board pada tahun 1890.
"Almarhum juga bertanggungjawab menubuhkan Sekolah Melayu pertama di Kuala Lumpur, di mana Almarhum telah menghantar putera tunggalnya, Raja Alang ke sekolah berkenaan.
"Pada tahun 1898, Almarhum dimasyhurkan sebagai Raja Muda Selangor dan berpindah menetap di Batu Road (kini Jalan Tuanku Abdul Rahman).
"Pelantikan Almarhum itu dibuat selepas Raja Muda Sulaiman dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor ke-5 bergelar Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa," kata kenyataan itu.
Bagaimanapun, kenyataan itu berkata, Almarhum tetap menggunakan gelaran ‘Raja Muda Laut’ sehingga tahun 1903.
Kenyataan pejabat Sultan Selangor juga berkata, apabila Kesultanan Selangor mengurniakan gelaran Tunku Mahkota untuk Almarhum sebagai pewaris takhta kepada Tengku Musa Eddin Ibni Sultan Alaeddin Sulaiman Shah, Raja Muda Laut tetap mengekalkan gelaran ‘Raja Muda’ sehingga kemangkatan Almarhum pada 9 Jun 1913.
"Almarhum dimakamkan di Tanah Perkuburan Kampong Gonggang (kini dikenali sebagai Tanah Perkuburan Jalan Ampang) Kuala Lumpur.
"Sebagai tanda penghargaan dan mengingati jasa dan bakti Almarhum, nama Raja Laut diabadikan sebagai nama sebatang jalan di Kuala Lumpur yang bersambung dengan Jalan Tuanku Abdul Rahman," jelas kenyataan itu lagi.
#Siapa Raja Laut
#raja laut
#Jalan Palestin
#DBKL
#Sultan Selangor
#Pejabat Sultan Selangor
#Selangor Royal Office
#Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
#jalan
#Kuala Lumpur