Siapa mahu 'double date' dengan Tun M dan Tun Hasmah?

Israr Khalid
Mac 7, 2018 20:09 MYT
Mahu 'double date' dengan mereka? - Gambar Facebook rasmi Dr. Mahathir bin Mohamad
DEMAM Pilihan Raya Umum (PRU) semakin hangat, dan pastinya setiap pihak terutama yang bakal beradu pengaruh dan penguasaan sibuk mempersiap jentera masing-masing untuk memastikan kemenangan nanti.
Namun demi cinta, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad sanggup meletakkan seketika kesibukan untuk melayan permintaan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Menerusi kemas kini terbaharu di akaun Facebook rasminya, Tun M memberitahu bahawa beliau dan isteri berpeluang menonton filem biopik kisah jagoan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei pada majlis tayangan perdananya di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini (9 Mac 2018).
Namun mereka tidak mahu menonton berdua sahaja, malah mengajak mana-mana pasangan bertuah rakyat Malaysia untuk menonton bersama mereka.
Syaratnya, kalian yang berminat perlu berkongsi gambar bersama pasangan masing-masing bersama kisah pertemuan pertama kalian di ruangan komen Facebook Dr. Mahathir bin Mohamad, dan pasangan bertuah akan dipilih esok (8 Mac).
Sudah pasti seruan itu mendapat sambutan hebat daripada pengikut Tun M di Facebook, di mana ia menerima hampir 200 perkongsian dan komen daripada segenap lapisan rakyat Malaysia tidak sampai empat jam ia dimuat naik.
Ada juga yang berkongsi gambar dan kisah ibu bapa masing-masing, dengan menyatakan bahawa kedua orang tua mereka lebih layak untuk bersama pasangan negarawan ini.
Kemesraan Tun M dan Tun Hasmah sememangnya diketahui seantero rakyat, dan pasti ‘sweet’ kalau dapat ‘double date’ dengan mereka!
#filem Datuk Lee Chong Wei #Tun Dr Mahathir Mohamad #Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali #Tun M
;