Siapa kata kereta di Malaysia mahal?
T K Letchumy Tamboo
Oktober 11, 2013 10:09 MYT
Oktober 11, 2013 10:09 MYT
Institut Automotif Malaysia (MAI) telah mengutuk laporan portal kereta popular, Jalopnik, yang telah menyenaraikan Malaysia sebagai negara kedua paling mahal untuk membeli kereta.
Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Mohamad Madani Sahari berkata laporan itu tidak adil kerana perbandingan dibuat hanya berdasarkan satu model kereta iaitu Scion Fr-S.
"Adalah tidak adil untuk membuat perbandingan berdasarkan hanya satu model kereta. Model kereta yang diperbandingkan pula adalah kereta sports mewah yang sasarannya bukan kepada pembeli biasa," katanya kepada Astro AWANI.
Mohamad Madani turut mempertahankan harga kereta buatan tempatan, dengan mengatakan harganya adalah antara yang termurah di Asia.
"MAI telah menjalankan satu tinjauan untuk membuat perbandingan harga kereta di Asia. Kami dapati bahawa harga kereta di Singapura dan Vietnam jauh lebih tinggi dari harga kereta di Malaysia.
"Contohnya, model kereta Proton Saga SV dijual pada harga RM33,438 di Malaysia dan kereta yang sama dijual pada harga RM40,581 di Thailand, RM40,246 di Indonesia dan RM81,823 di Singapura.
"Malaysia juga adalah antara negara yang menjual Perodua Viva 660 BX dengan harga yang paling murah di kalangan negara-negara lain yang menjual kereta tersebut.
"Malah kereta mewah seperti Volkswagen Golf, Honda Accord, Toyota Camry dan BMW 740Li, dijual dengan harga yang lebih tinggi di negara lain terutamanya di Thailand dan Vietnam berbanding di Malaysia.
Mohamad Madani berkata kos untuk menyelenggara kereta termasuk penggunaan petrol adalah murah di Malaysia berbanding negara lain.
"Harga minyak di Malaysia, selain daripada Brunei, adalah antara yang termurah di Asia. Malah, negara pengeluar minyak seperti Indonesia menjual minyak pada harga RM4.00 seliter berbanding RM2.10 seliter di Malaysia.
“Premium insurans dan cukai jalan di Malaysia juga mempunyai antara harga yang paling kompetitif di rantau ini," katanya.
Jalopnik, dalam artikel bertajuk ‘10 Tempat Paling Mahal Untuk Membeli Kereta' menyenaraikan Malaysia sebagai tempat kedua paling mahal di dunia untuk membeli kereta, selepas Singapura.
Selain itu, satu kaji selidik yang dilakukan oleh sebuah akhbar tempatan yang membuat perbandindan harga kereta di beberapa laman web pengeluar kereta, menunjukkan bahawa rakyat Malaysia membayar sehingga dua kali apa yang pengguna Amerika bayar untuk kereta yang sama di Amerika.