Siapa ibu bapa tinggalkan bayi masih bertali pusat depan surau?

Astro Awani
Februari 3, 2019 12:48 MYT
Polis masih meneruskan siasatan untuk mengesan ibu bapa yang meninggalkan bayi baru dilahirkan di hadapan sebuah surau di Kamunting, pada Sabtu. - Media sosial
Polis masih meneruskan siasatan untuk mengesan ibu bapa yang meninggalkan bayi baru dilahirkan di hadapan sebuah surau di Kamunting, pada Sabtu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Perak, Superintendan Datin Seri Halimahton Ahmad berkata, bayi berkenaan masih berada di Hospital Taiping.
“Bayi dalam keadaan sihat dan tiada kecederaan di keseluruhan badan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Dalam kejadian 4.20 petang Sabtu, seorang anggota polis yang sedang membuat rondaan menemui bayi yang masih bertali pusat di hadapan surau Kampung Pinang Seberang, Kamunting.
Bayi itu yang dibungkus dengan kain, ditemui masih hidup di dalam kotak di hadapan Surau Nur Iman, Kampung Pinang Seberang, Kamunting.
Kaunter aduan Balai Polis Kamunting menerima panggilan daripada anggota yang sedang membuat rondaan, Lans Koperal Nurul Kamal yang menemui bayi itu.
Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
#bayi #Hospital #jenayah #polis #siasatan #Taiping
;