Siapa 'hidupkan semula' The Rakyat Post?

Nizam Bakeri
Mac 10, 2016 16:42 MYT
Bekas kakitangan The Rakyat Post juga menafikan penglibatan mereka dalam usaha terkini portal itu yang bertanya orang awam tentang cara meningkatkan dana - Foto AWANI/Hamzah Hamid
The Rakyat Post telah mengumumkan penutupan sementara Februari lalu bagi menyelesaikan isu dana yang dihadapi laman berita atas talian tersebut.
Bagaimanapun, laman web rasmi dan laman Facebook portal tersebut dilihat beroperasi semula hari ini dengan beberapa berita mula dipaparkan kira-kira jam satu petang.
Hal ini menimbulkan persoalan dalam kalangan bekas sidang editor The Rakyat Post yang tidak diberitahu mengenai operasi yang disambung semula, menurut kenyataan rasmi mereka hari ini.
Mereka terdiri daripada 70 orang kakitangan yang telah meletak jawatan dan kakitangan yang masih bertugas namun dipaksa mengambil cuti.
“Kami bukan sebahagian dari The Rakyat Post yang baharu. Gaji kami untuk bulan Januari dan Februari mereka belum bayar,” tegas mereka.
Kumpulan ini turut membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Perhubungan Perusahaan, dan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) berkenaan kegagalan pemilik portal tersebut menjelaskan bayaran gaji.
The Rakyat Post bernaung di bawah Legion Media Group, dan diuruskan oleh Netnion Technology Sdn Bhd sebelum berpindah ke syarikat Wespacom Sdn Bhd.
#The Rakyat Post #The Rakyat Post tutup
;