Siapa Dr Fadi AlBatsh?
Ashwad Ismail
April 21, 2018 21:58 MYT
April 21, 2018 21:58 MYT
Pembunuhan seorang saintis muda Palestin, Dr Fadi Albatsh di Gombak menjelang waktu subuh pada Sabtu nyata menggemparkan bukan sahaja di Malaysia malah negara-negara Islam seluruh dunia.
Ia mendapat liputan meluas media antarabangsa terutama di rantau Asia Barat, malah pembunuhan ini turut diberi liputan di portal-portal berita di Israel.
Dr Fadi AlBatsh merupakan tokoh muda yang dihormati dalam kalangan diaspora Palestin di seluruh dunia tetapi tidak ramai orang Malaysia tahu mengenainya.
- Seorang teknokrat berusia 35 tahun
- Berasal dari Jabaliya, Gaza
- Pensyarah di UniKL
- Pakar kejuruteraan elektrik dalam penghasilan roket
- Menetap di Malaysia sejak enam tahun lepas
- Meninggalkan seorang isteri dan 3 orang anak
- Sering terlibat dalam aktiviti NGO di Malaysia menanam kesedaran mengenai isu-isu Palestin dan konflik Asia Barat
- Sering dijemput menjadi imam di masjid-masjid seluruh negara
Ada dua persoalan besar yang menjadi tumpuan.
- Benarkah pembunuhan ini didalangi oleh ejen perisikan Israel, Mossad?
- Sekiranya benar ia didalangi oleh Mossad, bagaimana Mossad memasuki Malaysia?
Apa kata PDRM?
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, siasatan menyeluruh masih lagi dijalankan bagi mengenal pasti motif pembunuhan dan dalang yang terlibat melepaskan 10 das tembakan terhadap Dr Fadi.
PDRM juga menjalankan kerjasama dengan Interpol dan pihak berkuasa serantau bagi menyiasat perkara ini dengan menyeluruh.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan serangan terhadap Dr Fadi ada kaitan dengan pihak yang bermusuhan dengan Palestin
Siapakah yang mendakwa Mossad adalah dalang di sebalik pembunuhan?
- Keluarga mangsa di Palestin percaya, pembunuhan ini didalangi Mossad
- Ketua Jihad Islam Palestin, Khaled al-Batash juga yakin ia didalangi Mossad berdasarkan cara serangan terhadap mangsa mirip modus operandi Mossad terhadap tokoh-tokoh Palestin di serata dunia sebelum ini.
- Pergerakan Hamas di Gaza juga menyatakan ahlinya dibunuh di Malaysia.