Datuk Armand Azha Abu Hanifah dilihat sangat defensif dengan teguran penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza yang tidak kasar dibandingkan komen dibuat Exco Pergerakan Pemuda UMNO itu sendiri.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, teguran itu ditujukan kepada kedua dua belah pihak dan bukan sahaja pada UMNO.

"Kenapa cepat terasa bila Datuk Siti kata "yang kuat gaduh tu patut hantaq pi Palestine baguih"?

"Saya tahu pemuda UMNO pernah ke sana dan saya berbangga dengan pemuda UMNO yang terlibat dengan misi kemanusiaan ke Palestin dan tahniah untuk itu.

"Jika Armada mempunyai kapasiti dan juga kemampuan untuk ke Palestin, kami pasti akan pergi ke sana pada satu hari nanti untuk mempertahankan hak-hak saudara seIslam kita di sana," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

BACA: "Cuba Siti Nurhaliza tanya Datuk K bila hendak ke Palestin?" - Armand

BACA:
Isu Palestin: Armand terasa ke? 'Maaflah naa' - Siti Nurhaliza

Syed Saddiq mengulas persoalan Armand yang mahu Siti Nurhaliza bertanya kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K) bila hendak ke Gaza Palestin dan membantu rakyat di sana.

Jelas Armand, Siti Nurhaliza harus tahu, pihaknya sendiri sudah beberapa kali dan sememangnya berani ke Gaza Palestin dalam misi menghulur bantuan.

Dalam pada itu kata Syed Saddiq, banyak lagi agensi serta NGO lain yang turut menyumbang di Gaza selain Pemuda UMNO.

"Datuk Siti juga memainkan peranan yang besar dalam bidang misi kemanusiaan. Beliau sangat aktif dalam membantu NGO-NGO yang berkaitan.

"Beliau juga pernah terlibat dengan misi kemanusiaan ke Yaman. Selain daripada itu, beliau juga aktif dalam kempen-kempen kesedaran untuk orang ramai antaranya Hope Campaign.

"Kempen ini juga berkolaborasi dengan syarikat SimplySiti di mana Datuk K merupakan pengerusi bagi syarikat tersebut," ujarnya.

Jelasnya lagi, ziarah Siti Nurhaliza dan keluarga termasuklah Datuk K ke Palestin sebelum ini telah membuka mata rakyat Malaysia mengenai isu Palestin.

"Walaupun mereka hanya menziarah Masjid Al Aqsa, Palestin tapi saya percaya ia membawa mesej yang sangat bermakna buat rakyat Malaysia dan Palestin.

"Kita semua ada peranan yang tersendiri. Janganlah disebabkan peranan yang dimainkan oleh orang lain tidak sebesar kita. Kita mempersoalkan pula sumbangan mereka.

"Setiap orang ada peranan dan sumbangannya yang tersendiri. Janganlah kerana politik kita lupa diri," katanya.

Armand mengulas komen Siti Nurhaliza di laman Instagram @yasinsulaiman mengenai gambar kekecohan yang berlaku antara Pemuda Parti Pribumi Bersatu (Armada) dan Pemuda UMNO.

Ia dikatakan bermula selepas sekumpulan anggota Armada menghantar jemputan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menghadiri forum Nothing To Hide 2.0.

Ia bertukar kecoh apabila mereka dihalang oleh Pemuda UMNO.



Laporan media melaporkan dalam kejadian itu, Ketua Penerangan Armada Bersatu, Ashraf Mustaqim mendakwa dia turut ditumbuk.

Dalam pada itu, mengulas kekecohan berkenaan Ketua Armada, Syed Syaddiq Abdul Rahman menyatakan rasa bangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh ahlinya.

Bagaimanapun, Pemuda UMNO Wilayah menuntut Armada mengemukakan bukti dakwaan ditumbuk selain menjelaskan pihaknya sedia untuk memohon maaf jika kejadian itu benar-benar berlaku.