Siap siaga kes meningkat, Stadium Tertutup Sibu jadi pusat kuarantin

Nuzuluddin Abdul Razak
Januari 10, 2021 14:04 MYT
Sebanyak 80 khemah dipasang di ruangan utama stadium berkenaan pada pukul 8.30 pagi Ahad. - Foto Astro AWANI.
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu melakukan persiapan di Stadium Tertutup Sibu sebagai pusat kuarantin sekiranya berlaku peningkatan kes COVID-19 di Sibu.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, sebanyak 80 khemah dipasang di ruangan utama stadium berkenaan pada pukul 8.30 pagi Ahad.
Tambahnya, bagaimanapun, stadium tertutup itu masih belum digunakan.
"Setakat ini, kesemua kes positif di Sarawak yang melibatkan rumah panjang di Pasai Siong masih ditempatkan di hospital. Kita belum lagi menggunakan stadium tersebut.
"Sebarang keputusan pemindahan penempatan pusat kuarantin akan diputuskan hari ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Semalam, lapan buah rumah panjang di Pasai Siong, Sibu dikenakan sekatan pergerakan selama 14 hari susulan 37 individu di salah sebuah rumah panjang berkenaan disahkan positif COVID-19 daripda jumlah keseluruhan 55 kes di seluruh negeri.
Rumah panjang yang terlibat adalah Rumah Jelian Nayor, Ringgit Unchu, Langi Ambau, Pom Maja, Nyanggai Alok, Jeram Empin, Kelly Chundau dan Nyambong Ajon.
#Stadium Tertutup Sibu #Pasai Siong #Mejar PA Ismail Mahedin #Sarawak #Sibu #pusat kuarantin #COVID-19
;