Siap siaga hadapi banjir, elak kluster banjir di Pusat Pemindahan Sementara - NADMA

Hasimi Muhamad
November 21, 2020 13:14 MYT
Selain, itu pengauditan turut dilaksanakan di 5,422 Pusat Pemindahan Sementara bagi berdepan dengan bencana alam itu - Gambar hiasan/APM
KUALA LUMPUR: Semua agensi yang terbabit dengan usaha dan operasi banjir berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal sepanjang November ini sehingga Mac tahun depan.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, program latihan simulasi banjir telah dilaksanakan di beberapa negeri dan daerah dalam usaha memastikan persiapan berada pada tahap yang baik.
Selain, itu pengauditan turut dilaksanakan di 5,422 Pusat Pemindahan Sementara bagi berdepan dengan bencana alam itu, katanya.
"Kita tahu dalam suasana COVID-19 banyak persiapan yang terpaksa kita lakukan dengan prosedur operasi standard (SOP), dan kita telah edarkan kepada mereka untuk bersiap sedia melakukan persiapan yang sewajarnya.
"Kita juga melihat bagaimanakah persiapan yang dilaksanakan oleh petugas barisan hadapan. Terdapat lebih kurang 6,500 logistik, yang kita pastikan berada dalam keadaan siap siaga dan kita minta semua Anggota Pertahanan Malaysia (APM), polis dan sebagainya melakukan persiapan dengan memeriksa logistik-logistik mereka," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Sabtu.
BACA: Amaran cuaca waspada, hujan lebat di kebanyakan negeri Semenanjung
Katanya, seramai 80,000 petugas akan digerakkan ke seluruh negara bagi membantu menghadapi banjir, kali ini.
Mengulas mengenai SOP, Aminuddin berkata NADMA memberi jaminan bahawa penyebaran COVID-19 tidak akan berlaku di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir, sekali gus mengelakkan wujud Kluster Banjir.
Jelasnya, langkah tersebut termasuk mengarahkan bilangan PPS ditambah di kawasan-kawasan yang berlaku banjir bagi memastikan tidak berlaku kesesakan di tempat pemindahan tersebut.
"Untuk makluman, apabila dalam suasana SOP, kita akan pastikan COVID-19 tidak merebak di Pusat-pusat Pemindahan Sementara yang telah ditubuhkan.
"Sebagai contoh, apabila mereka berada di sana, mereka perlu mendaftar menggunakan MySejahtera. Kalau dulu kita ada agihan makanan, kali ini tidak seperti dulu dan tiada aktiviti gotong-royong. (Sebaliknya), kita akan edarkan pek makanan," tambah beliau lagi.
#SOP #PPS #pusat pemindahan #COVID-19 #banjir #monsun timur laut
;