Siap siaga bencana alam, komuniti setempat perlu diperkasakan
Faida Rahim
Februari 15, 2023 16:31 MYT
Februari 15, 2023 16:31 MYT
KUALA LUMPUR: Kesiapsiagaan bencana alam harus diperkasakan dari peringkat akar umbi termasuk komuniti setempat seperti barisan pengurusan di peringkat ketua kampung dan penghulu.
Pengarah Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Khamarrul Azahari Razak berpendapat, barisan individu termasuk pengurusan yang berada di lapangan perlu diperkukuhkan.
“Saya berpandangan apabila kita memperkatakan kesiapsiagaan bencana, kita harus memperkasakan komuniti setempat. Mereka sebenarnya frontliner (petugas barisan hadapan).
“Barisan pengurusan kampung, ketua kampung, penghulu, kapasiti mereka harus dipertingkatkan serta dibekalkan aset yang baik. Ini termasuk agensi yang berada di lapangan. Contohnya Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dan mereka yang berhadapan dengan mangsa juga perlu ditingkatkan dari segi kapasiti,” katanya.
Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Parlimen bertitah agar pengurusan risiko bencana perlu diberi penekanan oleh kerajaan dan harus dipandang serius agar perancangan segera dapat dilaksanakan.
Dalam pada itu, Dr Khamarrul ketika bercakap kepada Astro AWANI dalam program Pantau Kerajaan Baharu memberitahu, kadar dan infrastruktur baru perlu ditingkatkan sekiranya negara menghadapi bencana dalam berskala besar di masa hadapan.
Tambah beliau, budaya masyarakat juga perlu diubah iaitu orang ramai perlu memiliki daya tahan yang tinggi.
“Dalam konteks culture, budaya kita harus berpindah daripada risiko kepada daya tahan. Bukan hanya memahami risiko setempat, kadar kerapuhan semasa, tetapi juga siap siaga tingkatkan daya tahan bandar, daya tahan komuniti setempat, daya tahan urus sistem kewangan negara. Itu sebahagian daripada pandangan awal saya.
“Pengurusan risiko bencana bukan hanya terletak di bahu Kerajaan. Itu harus difahami. Setiap daripada masyarakat mempunyai peranan masing-masing.
“Di kala amaran diberi pihak kerajaan, mereka harus tahu di mana pusat perlindungan terdekat. Jika maklumat banjir itu lebih awal disebarkan, mereka juga boleh buat tindakan awal di peringkat setempat dalam mengurangkan kadar kerugian kemusnahan,” katanya lagi.
#Jabatan Kebajikan Masyarakat
#Universiti Teknologi Malaysia
#bencana alam
#Dr Khamarrul Azahari Razak