Sianid Mokim dipilih Tokoh Maal Hijrah Selangor

Bernama
November 5, 2013 09:31 MYT
Sianid Mokim, bekas Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), dinobat Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri ini sambutan Maal Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini malam tadi.
Sianid, 63, membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000 beserta sijil penghargaan, trofi, sepersalinan pakaian dan hadiah mengerjakan umrah yang disampaikan Tengku Panglima Diraja Selangor Tengku Sulaiman Shah, yang mewakili Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah Universiti Al-Azhar Mesir, Sianid memegang pelbagai jawatan sepanjang berkhidmat selama 30 tahun dengan JAIS, termasuk sebagai kadi dan pendidik.
Sianid, yang ditemui pemberita selepas itu, berkata beliau merasakan dirinya belum layak menerima anugerah itu namun bersyukur diberi penghargaan berkenaan.
Meskipun sudah bersara, beliau masih menyumbangkan tenaga dalam menegakkan syiar Islam dengan menganggotai Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Jawatankuasa Khutbah Negeri Selangor dan Jawatankuasa Tauliah Negeri Selangor.
Pendakwah Islam bebas Lim Jooi Soon pula menerima Anugerah Tokoh Saudara Kita, Anugerah Tokoh Keluarga Mithali dirangkul pasangan Mohd Dawam Dollah dan isterinya, Nor Aisah Hassan dari Sekinchan manakala Anugerah Badan Dakwah Sukarela Terbaik diraih Persatuan Sukarelawan Islam Hospital Selangor.
#Lim Jooi Soon #Maal Hijrah #Mohd Dawam Dollah #Nor Aisah Hassan #Persatuan Sukarelawan Islam Hospital Selangor #Sianid Mokim
;