Siakap Keli nafi penutupan Facebook, gangguan sementara kerana isu teknikal
Bernama
Februari 21, 2025 21:00 MYT
Februari 21, 2025 21:00 MYT
Sejak semalam, portal media tempatan Siakap Keli dilaporkan telah ditutup oleh Facebook dan kehilangan lebih tujuh juta pengikut. - Gambar hiasan/Reuters
KUALA LUMPUR: Siakap Keli Sdn Bhd hari ini menafikan penutupan halaman Facebook syarikat media digital dan pengiklanan itu seperti yang dilaporkan di beberapa portal tempatan.
Siakap Keli Sdn Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan akses kepada halaman Facebooknya telah terganggu buat sementara akibat isu teknikal.
"Kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak META untuk menyelesaikan masalah ini dan mendapatkan semula akses kepada halaman serta aset digital kami.
"Kami yakin isu ini berpunca daripada kekeliruan teknikal, dan kami optimis bahawa keadaan akan pulih secepat mungkin," menurut kenyataan itu yang turut meminta orang ramai berhati-hati dengan halaman palsu yang menyamar sebagai Siakap Keli.
Menurut kenyataan itu, untuk sementara orang ramai boleh mengikuti Siakap Keli di halaman alternatif https://www.facebook.com/thesiakapkeli/.
"Terima kasih atas sokongan dan kepercayaan anda selama ini. Kami akan terus berusaha agar kembali beroperasi seperti sediakala," menurut kenyataan itu.
Sejak semalam, portal media tempatan Siakap Keli dilaporkan telah ditutup oleh Facebook dan kehilangan lebih tujuh juta pengikut.
Bagaimanapun, TikTok, laman sesawang, serta Instagram portal itu masih beroperasi dan dikemas kini seperti biasa.
Siakap Keli, sebuah agensi pengiklanan yang dimiliki oleh Maharsuri Sdn Bhd melalui Siakap Keli Sdn Bhd ditubuhkan pada 3 Feb 2020.
Diasaskan oleh tiga penuntut universiti pada 2013, Siakap Keli bermula dengan fokus mencipta kandungan tular dan berkembang menjadi jenama media digital disegani di Malaysia.
-- BERNAMA